Wednesday, 1 June 2011

Selamat Hari Gawai Dayak 2011


Perayaan Hari Gawai atau juga dikenali sebagai Gawai Dayak merupakan perayaan yang di sambut setiap tahun iaitu pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan kebiasaannya diraikan pada 1 Jun. Perayaan ini adalah bersempena tamatnya musim menuai iaitu musim menuai padi. Ia di sambut secara besar-besaran secara turun-temurun semenjak tahun 1964 oleh suku kaum dayak di Sarawak yang terdiri daripada masyarakat Iban dan Bidayuh. 

Perayaan Hari Gawai secara tradisinya dimulakan dengan mengumpulkan seluruh masyarakat di sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk ke dalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang sambil menjamu makanan dan minuman tuak 'arak beras'. 

Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamerkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka.  

Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya. Perayaan Gawai dianggap tamat apabila 'ranyai' atau pokok istiadat telah dibuang.

Sememangnya dengan kepelbagaian budaya dan perayaan yang disambut di Malaysia ini, saya cukup yakin bahawa semangat perpaduan itu amatlah perlu bagi menjamin suasana kemasyarakatan yang harmoni. Oleh itu, tidak terlambat rasanya untuk saya, MPP Noraini selaku Pengerusi Biro Perpaduan Dan Kemasyarakatan PMUKM sesi 10/11 untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai Dayak kepada seluruh suku kaum Dayak di Sarawak dan juga kepada mahasiswa UKM yang menyambut perayaan ini khususnya kepada mereka yang sanggup merantau dari bumi Kenyalang Sarawak ke bumi perbukitan ilmu UKM untuk menimba pengetahuan dan mencipta kecemerlangan. 


"Gayu Guru Gerai Nyamai" 

Selamat Hari Gawai Dayak 2011

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

No comments:

Post a Comment