Sunday 26 June 2011

Tahniah! Kejayaan anda kebanggaan kami..


UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA... seindah namanya.. Begitulah keharumannya semakin mekar hari demi hari dengan pelbagai kejayaan dan aksi hebat yang telah disumbang oleh mahasiswa/wi UKM itu sendiri menerusi pelbagai bidang yang diceburi baik dalam akademik, sukan, kepimpinan, kebudayaan, rekacipta dan pelbagai acara-acara yang disertai. Seiring dengan gagasan yang dijulang, "Mengilham harapan, Mencipta masa depan", UKM terus menempah nama baik menerusi kegemilangan pelajarnya. 

Yang terkini, pasukan dari UKM telah menunjukkan aksi yang bergaya dengan memenangi tempat kedua bagi kategori reka bentuk dalam cabaran Perodua Eco Challenge di litar MIMC iaitu Malacca International Motorsport Circuit. Tahniah diucapkan buat kontinjen UKM dari  fakulti kejuruteraan dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.



Di samping itu, tidak lupa juga kepada beberapa pasukan dari UKM yang menunjukkan prestasi yang cemerlang satu demi satu di karnival sukan MASUM yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada tahun ini. Antaranya seperti Pasukan Bola Tampar UKM yang berjaya menumpaskan pasukan dari UPSI dengan kemenangan 3 berbalas 0. Kejayaan ini merupakan kejuaraan keenam UKM secara berturut-turut bagi sukan ini di dalam karnival MASUM. Satu pencapaian yang mantap dipersembahkan oleh mahasiswa UKM. Seterusnya, tahniah juga diucapkan kepada barisan pasukan kriket UKM yang memberikan rentak yang menarik juga sepanjang perlawanan berlangsung dengan kemenangan bergaya ke atas beberapa universiti ternama. Syabas buat kalian! Juga buat beberapa kontinjen sukan UKM yang lain di dalam MASUM seperti pasukan silat dan sebagainya yang berjaya membawa pulang pingat dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Beberapa keputusan akhir masih dinantikan dalam beberapa acara yang belum selesai. Semoga pasukan UKM terus mencipta kecemerlangan kerana ANDA adalah kebanggaan kami.

~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~

WE LOVE UKM!!

Credit to TNC Hepa for the information.. =)

26 Jun: Hari Sambutan Anti-Dadah Kebangsaan


Sejak dahulu lagi, masalah penagihan dadah merupakan isu yang semakin lali di dengar baik di dada-dada akhbar, di kaca televisyen, di corong-corong radio mahupun dari perbualan seharian masyarakat. Masalah ini semakin parah dan meruncing di kalangan rakyat negara kita. Ianya juga cukup membimbangkan masyarakat kerana kesannya yang mampu merosakkan institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara. 

Pada hemat saya, masalah penagihan dadah ini adalah bapa kepada masalah sosial yang lain seperti mencuri, tidak menghormati ibubapa, mat rempit, bohsia, gangsterisme, buang bayi, keganasan rumahtangga, perceraian, seks bebas dan sebagainya lagi. Pelbagai usaha telah dilancarkan semenjak tahun 1970 an lagi bagi memerangi gejala yang tidak sihat ini. Namun segala penyelesaian alternatif yang dijalankan ini ibarat mencurah air ke daun keladi. Tahun demi tahun, peningkatan jumlah penagih dadah semakin meningkat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pada tahun 2007, dalam Mingguan Malaysia bertarikh 1 Julai, dicatatkan bahawa statistik penagih dadah di Malaysia dianggarkan melebihi sejuta orang. Bukankah bilangan itu cukup membimbangkan kita? Jumlah ini belum termasuk dengan penagih dadah yang tidak dapat dijejaki lagi. 

Walaubagaimanapun, bukan soal statistik yang ingin diketengahkan. Persoalan yang paling utama adalah sampai bila masalah ini akan berterusan dan mampu ditangani.. Negara kita telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas dadah pada tahun 2015.. Mampukah matlamat ini terlaksana demi kesejahteraan hidup rakyat dengan melihatkan jarak tahun yang semakin menghampiri dari apa yang disasarkan. 

Pada pandangan saya selaku Pengerusi Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan PMUKM sesi 10/11, semua harapan ini sebenarnya mampu dicapai dengan mudah jika semua pihak memiliki kesedaran dan berusaha memainkan peranan masing-masing seperti agensi penguatkuasaan, NGO, pemimpin, masyarakat, pelajar, ibubapa dan individu amnya. Semua individu mesti berusaha menjauhkan diri dari terlibat dengan penagihan dadah. Dengan itu dadah yang dikenali sebagai musuh negara nombor satu ini mampu dihapuskan sama sekali di negara kita bagi membentuk kehidupan generasi yang akan datang yang lebih aman dan harmoni. Impossible is nothing.


Ayuh katakan "SAYA BENCI DADAH"!!!

^_^

Saturday 18 June 2011

Penstrukturan semula kursus-kursus Pusat Pengajian Umum UKM..

Pada tanggal 3 Jun 2011 yang lalu, satu mesyuarat yang mengumpulkan pelbagai peringkat pentadbiran telah dijalankan bagi membincangkan mengenai penstrukturan semula kursus Pusat Pengajian Umum yang dijangka akan dijalankan bermula dengan batch pelajar tahun satu yang baru yang akan mendaftar masuk pada bulan September ini nanti. Turut hadir dalam perbincangan itu adalah 2 orang Majlis Perwakilan Pelajar PMUKM sesi 10/11 yang terdiri daripada MPP Azidah Mashan selaku Bendahari Kehormat PMUKM dan MPP Noraini Jumahir selaku Pengerusi Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan PMUKM yang mewakili suara mahasiswa. Tujuan perbincangan ini diadakan adalah untuk memberi taklimat mengenai penstrukturan semula kursus-kursus di Pusat Pengajian umum di samping untuk meminta maklum balas dari pelbagai pihak untuk penambahbaikan cadangan penstrukturan tersebut.






Seperti yang kita sedia maklum, dengan berpaksikan kepada matlamat ke arah penghayatan falsafah pendidikan berpandukan nilai-nilai murni dan sejarah, kebolehan untuk berfikir dan berkomunikasi secara kreatif dan kritis dengan menggunakan kemahiran kuantitatif, menyalurkan ilmu pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang, melatih kemahiran berbahasa Melayu dan Inggeris; di samping memberi pendedahan kepada ciri-ciri ketrampilan intelektual, pusat pengajian umum telah menawarkan kepada para pelajar beberapa bentuk kursus yang menjadi pelengkap kepada kursus-kursus yang disediakan dalam program pengkhususan pelajar itu sendiri. Daripada segi pengendaliannya, kursus-kursus yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Umum terbahagi kepada dua jenis iaitu: 

1.  Kursus-kursus asas: 
      
        i.  Kursus wajib Universiti (U1)
        ii. Kursus-kursus Liberal (U2 & U3) 

2.  Kursus-kursus kemahiran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (U4). 

Bagi melicinkan lagi perjalanan kursus dan memastikan ianya merangkumi 8 domain kemahiran insaniah yang digariskan oleh pihak universiti, penstrukturan semula kursus-kursus Pusat Pengajian Umum telah dilakukan dan kursus yang baru telah dirangka iaitu diberi nama Kursus Pembangunan Diri. Kursus yang dirancang untuk dijalankan bagi 2 semester ini menggariskan mod pembelajaran berasaskan kursus bagi semester 1 manakala pada semester 2 berasaskan projek, aktiviti atau khidmat.  Kursus Pembangunan Diri ini merupakan kursus baru setelah U2 dan U3 distrukturkan. Oleh itu, berdasarkan perancangan yang diatur, bermula dengan pengambilan pelajar baru tahun satu yang akan datang. mereka tidak perlu mengambil U2 dan U3, sebaliknya hanya mengikuti Kursus Pembangunan Diri, di samping kursus keusahawanan dan inovasi yg ditawarkan oleh CESMED.

Kursus baru yang merupakan kursus wajib universiti ini masih di dalam perancangan yang teliti dan maklum balas dari pelbagai pihak sedang dikumpulkan. Diharapkan dengan usaha yang baik ini dapat membantu melahirkan mahasiswa/wi UKM yang lebih cemerlang baik dari segi akademik, sahsiah mahupun kemahiran insaniah (softskill).



Syabas diucapkan kepada pasukan 'task force' dari Pusat Pengajian Umum yang bertungkus lumus merangka kursus bagi meningkatkan lagi kualiti mahasiswa/wi UKM.

Noraini jumahir
PMUKM 10/11
013-6242860

Friday 17 June 2011

Ke arah pembentukan masyarakat sebagai kunci kebaikan..

Dalam kehidupan bermasyarakat, tidak dapat tidak, pastinya kita akan bersua atau bertemu dengan sesiapa sahaja setiap hari sama ada pertemuan itu dirancang mahupun secara spontan. Dan semestinya setiap pertemuan itu mempunyai tujuan dan matlamatnya tersendiri. Sebagai contoh, jika seseorang itu merupakan doktor, lazimnya orang yang bertemu dengan mereka adalah pesakit yang memerlukan khidmat nasihat dan rawatan. Begitu juga bagi seorang ustaz, individu yang akan menemuinya adalah mereka yang ingin menuntut ilmu dan ingin meminta nasihat agama. 

Melalui pergaulan seperti ini, setiap individu yang bertemu dengan kita mampu untuk menilai imej dan identiti diri kita. Malah, orang-orang di sekeliling yang mendekati kita juga sudah cukup untuk mempamerkan bagaimana diri kita dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana seseorang itu dapat dikenali dalam masyarakatnya hanya dengan melihat siapakah orang-orang yang kerap mengunjunginya. Oleh itu, setiap dari kita haruslah memanfaatkan pertemuan-pertemuan yang berlaku dalam kehidupan seharian kita dengan menunjukkan contoh teladan yang baik dan akhlak yang mulia. Mana mungkin seorang penjahat ingin berjumpa dengan seseorang yang berbudi pekerti untuk meminta nasihat bagaimana untuk melakukan kejahatan dan tips-tips cemerlang dalam melakukan kejahatan. Pastinya jika seseorang yang berkelakuan tidak baik terdetik untuk menemui mereka yang baik adalah untuk meminta nasihat ke arah memperbaiki diri. Setiap individu yang memiliki masalah juga akan pergi menemui seseorang yang baginya mampu untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Malah, orang yang sedia baik juga akan menemui mereka yang lebih baik dari diri mereka bertujuan untuk mendapatkan sesuatu manfaat.

Sahl bin Sa'ad R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Bermula sesuatu yang baik ibarat peti besi, dan bagi setiap peti besi ada anak kuncinya, maka berbahagialah bagi orang yang Allah S.W.T jadikan dia sebagai anak kunci kebajikan dan penghalang kepada kejahatan. Sebaliknya, celaka (neraka) bagi seseorang yang menjadi kunci kepada kejahatan dan penghalang kepada kebaikan."  (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas menggambarkan bahawa setiap permasalahan pasti ada kunci penyelesaian. Justeru, setiap masyarakat perlu menjadi kunci kebaikan itu kerana golongan ini amat diperlukan memandangkan di tangan mereka terletaknya usaha perbaikan dalam kalangan masyarakat itu sendiri. Setiap dari kita haruslah menjadi peneraju ke arah kebaikan dan penyelesaian seperti yang dimaksudkan di atas dan cuba menghalang dari sebarang kejahatan. 

Pada hemat saya, jika setiap individu dalam pelbagai lapisan masyarakat mempunyai kesedaran ke arah menjadi kunci kebaikan itu, pastinya tidak akan berlaku sebarang perkara-perkara yang berunsur keburukan. Malah jika saya kaitkan dengan konteks perpaduan itu sendiri, pastinya kewujudan masyarakat seperti ini dapat membanteras dari tercetusnya perpecahan sesama manusia. Untuk menjadi ke arah itu, adalah perkara yang mudah, hanya bergantung pada diri kita sama ada hendak lakukannya atau tidak. Ianya bukanlah sesuatu yang sukar kerana tugas kita hanyalah memberi bimbingan ke arah kebaikan dan tidak menghasut orang lain  mahupun berhasad dengki sehingga terlahirnya golongan-golongan yang cuba membawa agenda jahat demi kepentingan peribadi contohnya seperti membuli, merompak, bertikam lidah, berebut kuasa dan sebagainya. Bak kata pepatah, 'bersatu teguh, bercerai roboh'.

mampukah kita menjadi kunci kebaikan itu??



"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"

oleh:

Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan
PMUKM 10/11

Tuesday 14 June 2011

Selamat Menduduki Peperiksaan!!


Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah, ayat 105 yang bermaksud:

" Dan katakanlah wahai Muhammad “ Hendaklah kamu semua berusaha (beramal) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan ."

Selamat menduduki peperiksaan diucapkan kepada semua mahasiswa/wi UKM yang mengambil semester pendek. Teruskan usaha kalian dan lakukan yang TERBAIK!!

"من جد وجد"

siapa yang berusaha pasti berjaya

All da best!!!
Dari kami barisan Majlis Perwakilan Pelajar
PMUKM 10/11


Monday 6 June 2011

PMUKM semakin rancak menyusun rentak..

Debarannya kian terasa. Setelah hampir 2 bulan merangka kertas kerja dan menyusun strategi, akhirnya, satu program yang dirasakan penting kepada seluruh persatuan yang bernaung di bawah persatuan induk PMUKM akhirnya bakal direalisasikan. Bertemakan slogan "Kepimpinan Bersepadu, Organisasi Bermutu", program ini diharapkan dapat memberi sedikit sebanyak input mengenai pengurusan organisasi yang terancang di samping memecahkan jurang antara PMUKM dengan persatuan-persatuan yang ditubuhkan di UKM bertepatan dengan misi yang dibawa oleh PMUKM sesi kali ini iaitu untuk bersama mahasiswa dalam merealisasi varsiti. 


Program mega yang bakal mempertemukan ahli-ahli Majlis Tertinggi setiap persatuan di UKM ini dilihat sebagai satu usaha yang baik memandangkan agak sukar untuk mengumpulkan dan melihat setiap persatuan ini duduk semeja dan berkongsi pengalaman berorganisasi masing-masing. Program yang diberi nama 1 Malaysia Leadership & Youth Training ini akan berlangsung tidak lama lagi iaitu pada 10 hingga 12 Jun 2011 bertempat di Excel Training and Resort Sdn Bhd milik seorang pakar motivasi terkenal iaitu Dato' Dr Fadzilah Kamsah. 

Diharapkan program ini dapat dijalankan dengan jayanya dan menunjukkan impak yang positif khususnya dalam melahirkan mahasiswa/wi UKM yang serba boleh dan mampu untuk mentadbir sesebuah organisasi memandangkan dilihat bahawa kebanyakan graduan hasil produk keluaran UKM menjadi orang-orang besar dan kenamaan serta pemimpin negara.

Akhir kata, saya selaku salah seorang AJK program ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada barisan PMUKM yang lain kerana bertungkus lumus dalam menjadikan program ini sebuah realiti terutamanya kepada Ketua Pengarah, Saudara Ikram Bin Darus serta beberapa AJK dibawahnya yang menjadi pemikir ke atas program besar kedua anjuran PMUKM sesi 2010/2011 ini. 

Berikut adalah video dokumentasi program 1 Malaysia Leadership & Youth Training khas buat anda semua..



"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"

Wednesday 1 June 2011

Selamat Hari Gawai Dayak 2011


Perayaan Hari Gawai atau juga dikenali sebagai Gawai Dayak merupakan perayaan yang di sambut setiap tahun iaitu pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan kebiasaannya diraikan pada 1 Jun. Perayaan ini adalah bersempena tamatnya musim menuai iaitu musim menuai padi. Ia di sambut secara besar-besaran secara turun-temurun semenjak tahun 1964 oleh suku kaum dayak di Sarawak yang terdiri daripada masyarakat Iban dan Bidayuh. 

Perayaan Hari Gawai secara tradisinya dimulakan dengan mengumpulkan seluruh masyarakat di sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk ke dalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang sambil menjamu makanan dan minuman tuak 'arak beras'. 

Ketika perayaan Gawai, perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk dipamerkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka.  

Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya. Perayaan Gawai dianggap tamat apabila 'ranyai' atau pokok istiadat telah dibuang.

Sememangnya dengan kepelbagaian budaya dan perayaan yang disambut di Malaysia ini, saya cukup yakin bahawa semangat perpaduan itu amatlah perlu bagi menjamin suasana kemasyarakatan yang harmoni. Oleh itu, tidak terlambat rasanya untuk saya, MPP Noraini selaku Pengerusi Biro Perpaduan Dan Kemasyarakatan PMUKM sesi 10/11 untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai Dayak kepada seluruh suku kaum Dayak di Sarawak dan juga kepada mahasiswa UKM yang menyambut perayaan ini khususnya kepada mereka yang sanggup merantau dari bumi Kenyalang Sarawak ke bumi perbukitan ilmu UKM untuk menimba pengetahuan dan mencipta kecemerlangan. 


"Gayu Guru Gerai Nyamai" 

Selamat Hari Gawai Dayak 2011

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI