Monday 29 August 2011

Ke arah Tranformasi Mahasiswa di Bulan Ramadhan..


Assalamu'alaikum, salam Ramadhan dan salam Kemerdekaan.

Sedikit teruja di hati dengan sedikit masa lagi bakal kedengaran kalimah takbir yang bakal berselang dengan lagu-lagu raya yang kini sedang meriah berkumandang. Namun diharapkan ia tidak membantutkan pemburuan kita di hari-hari terakhir Ramadhan.

Selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan, saya mewakili rakan-rakan di Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada sesi kali ini ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping selamat menyambut hari Kebangsaan; serta paling utama Hari Raya Fitrah nanti. Taqaballah-huminna-waminkum. Semoga apa yang telah, sedang dan akan dilakukan di dalam keberkatan dan rahmat daripada-Nya.

Kami di PMUKM ingin berpesan dan memohon kepada rakan-rakan mahasiswa agar berhati-hati ketika memandu kereta atau menunggang motorsikal semasa beraya nanti, serta ketika ingin pulang nanti ke UKM.

Mahasiswa Diajak Ambil Hikmah Ramadhan
Di kesempatan ini juga kami ingin mengajak rakan-rakan supaya kita mengambil hikmah dan mengadaptasikan 'modul ibadah' sepanjang bulan Ramadhan ke dalam kehidupan kita dalam 11 bulan yang seterusnya. Modul-modul yang telah disusun Allah seperti menahan nafsu dengan berpuasa serta mengerjakan qiyamulail di dalam bulan Ramadhan ini harus kita hadam dengan kefahaman yang jelas agar kita tidak menjadi generasi yang sekadar mengikut semata-mata.

Ingin dipesani, bukti kejayaan tarbiyyah Ramadhaniyyah yang telah dilalui adalah apabila kita bukan menjadi golongan Ramadhaniy yang merasa dirinya hamba ketika di bulan Ramadhan sahaja, tetapi kekal istiqamah berterusan merasakan dirinya sebagai hamba Tuhan sepanjang masa. 

Mungkin kerana kita di negara ini, kita ditarbiyyah oleh Allah dalam keadaan senang. Ramadhan dihampar ketenangan beribadah, juadah berbuka yang mudah diperolehi dan pelbagai. Justeru kita hanya berasa susah di sebilangan waktu sahaja.

Sesungguhnya tarbiyah Ramadhan mengajar kita untuk mengingati umat manusia di luar sana. Janganlah kita hanya mengaku telah ditarbiyah tetapi kesedaran akan nasib rakyat dunia masih belum timbul.

Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar. (Ali Imran 104)

Rakan Bukan Islam Juga Diseru Raikan Bersama
Menariknya pada tahun ini kita bakal menyambut Aidilfitri dan Hari Kebangsaan dalam musim yang sama. Ayuh kita mengambil hikmah di sambutan hari raya Fitrah 1432H dan Hari Kebangsaan ke-54, ini sebagai signal tanda diri kita juga bebas dari kongkongan hawa nafsu. Buktikan bahawa kita adalah generasi yang benar-benar 'merdeka'

Adalah tiada menjadi kesalahan sekiranya rakan-rakan di kalangan bukan Islam turut bersama-sama berkunjung ke rakan-rakan untuk menyambut hari raya Aidilfitri sekaligus membawa roh menyambut hari Merdeka nanti. Selari dengan tema Hari Kebangsaan kita pada kali ini, Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera, maka saya secara peribadi menyeru rakan-rakan bersama menyambut perayaan kali ini dengan jiwa yang merdeka.

Mengakhiri kalam, saya selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan sekali lagi ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1432 H dan selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia Ke-54. Semoga Ramadhan yang bakal berlalu ini banyak memberi hikmah dan pengajaran kepada kita supaya matlamat akhir kita mencapai tahap bertaqwa bakal tercapai.

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"


Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan
Persatuan Mahasiswa UKM 10/11

Friday 19 August 2011

Hulurkan Tangan, Ringankan Beban..


Moga usaha sedikit yang mampu kita sumbangkan cukup memberi manfaat yang lebih besar.

PMUKM SENTIASA KOMITED MEMPERJUANGKAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI..~

Tuesday 16 August 2011

Tangani kontroversi elak perpecahan kaum..

Ada sesuatu yang sedikit menganggu fikiran saya kini, selepas mengikuti beberapa perkembangan di media massa arus perdana kebelakangan ini.  Saya melihat perihal ini juga mengganggu fikiran beberapa rakan di luar sana, dengan kondisi kita yang kini berada di bulan penuh barakah bagi umat Islam, iaitu bulan Ramadhan yang mulia ini.

Saya bersetuju dengan pandangan rakan MPP saya, saudara Wan Ahmad Fahmi  dalam ucapannya bahawa sebagai umat Islam yang berpegang dengan ajaran agama yang meraikan semua manusia yang diciptakan berbeza-beza dari sudut bahasa, warna kulit, pengalaman budaya dan tidak terkecuali berbeza dari sudut kepercayaan beragama.,maka proses berkenalan dan memahami (at-ta'aruf & at-tafahum) akan membentuk sikap saling menghormati (at-takaful) sesama manusia sebagai langkah awal pencegahan dalam menghindari permusuhan selain dapat meleraikan persengketaan yang ada. (Baca ucapan beliau di sini)

Terbaru insiden yang terjadi di media arus perdana, iaitu iklan komersil di televisyen dan ‘menu hidangan berbuka’ yang sedikit kontroversi dilihat oleh saya secara peribadi sebagai tindakan yang tidak seharusnya berlaku. Namun begitu, sebagai Muslim yang menjadi majoriti penduduk di Malaysia, kita juga tidak harus melatah dan bertindak ‘menyerang’ tanpa menyelidik terlebih dahulu apa sebenarnya berlaku. Tindakan kurang matang ini dilihat juga lebih kepada memburukkan keadaan kerana mungkin di sebalik insiden ini, masih ramai rakyat bukan Islam di luar sana yang sebenarnya masih tidak memahami perkara-perkara yang menjadi ‘taboo’ atau sensitif bagi rakyat Malaysia beragama Islam.

  NONE    

Sebagai Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM, saya lebih gemar untuk membawa rakan-rakan melihat insiden ini dari sudut pandangan yang lain. Cuba kita lihat, insiden ini adalah bukti bahawa hubungan antara kaum di Malaysia ini masih di tahap memuaskan, dan perlu banyak dibaiki lagi. Jika kita selidiki, insiden ‘iklan kontroversi’ di musim perayaan juga pernah berlaku pada tahun lalu, dan telah ditarik balik setelah didesak oleh rakyat Malaysia. Ironinya perkara ini masih berlaku pada tahun ini. Justeru itu, saya mengesyorkan lebih banyak program-program berbentuk silang budaya dapat diadakan di segenap peringkat agar kita semua selaku warganegara Malaysia dapat memahami antara satu sama lain sebelum timbul insiden-insiden yang bakal menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara tercinta hari ini. Sebagaimana yang diulas oleh Stephen Covey dalam buku beliau “7 Habits Of Effective People” , kita perlu mengamalkan sikap ‘seek first to understand, then to be understood’

Saya juga berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak menimbulkan sebarang komplikasi di masa hadapan. Biarpun ada segelintir pihak yang beranggapan ini merupakan isu penting bagi umat Islam untuk pertahankan, saya lebih memilih agar ianya dikira sebagai isu yang masih boleh dikawal dan dibetulkan dengan sesi dialog dan program-program yang membentuk kefahaman tentang adat resam dan budaya kaum-kaum di negara ini.  Saya juga menyeru agar perkara ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang  dan memohon agar semua pihak berhati-hati dalam merencanakan sesuatu agenda untuk kepentingan bersama.

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"


Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan
Persatuan Mahasiswa UKM 10/11

Friday 12 August 2011

Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri..

Putrajaya, 10 Ogos 2011- Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak beserta isterinya, Datin Sri Paduka Rosmah Mansor yang diadakan berhampiran kediamannya di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya hari ini dilihat cukup meriah dengan kehadiran barisan Majlis Perwakilan Pelajar serta mahasiswa/wi dari 38 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan juga Swasta (IPTS). Turut hadir juga wakil-wakil dari luar negara yang tidak ketinggalan meraikan bulan Ramadhan bersama pemimpin negara. Turut dijemput adalah adik-adik Permata Pintar dan Permata Seni, Anak-anak Yatim dari Pasir Gudang dan ramai lagi yang menambah seri majlis ini. Difahamkan bahawa majlis ini adalah yang ketiga selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital setelah menjalani pembedahan lutut. 




Selain berbuka puasa, para hadirin juga turut menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama Perdana Menteri dan seterusnya menunaikan solat Isyak berjemaah dan juga solat Tarawih selepas menikmati jamuan makan malam yang disediakan. 

Dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah hadir beberapa orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PMUKM diketuai oleh Saudara Presiden, Leftenan Muda Ahmad Muzzammil Bin Muhd Hairi serta Sekretariat Pesta Konvokesyen ke 39 yang telah bertungkus lumus bekerja keras demi menaikkan nama universiti. 



"Saya kira majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri ini sebagai satu tanda penghargaan kepada ahli-ahli Pesta Konvokesyen ke 39 yang tidak pernah berputus asa menjalankan tugas mereka," kata MPP Noraini Jumahir, selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM yang turut hadir pada majlis ini.

Turut hadir di samping pemimpin negara adalah Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni UKM, Prof. Ir. Dr Othman A. Karim.




Tuesday 9 August 2011

Berita Baik buat Mahasiswa Sarawak!!!

Salam mahasiswa..





Sukacita dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak akan membuka
tawaran Biasiswa Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak (BPKNS) bagi Sesi Akademik 2011/2012, untuk
semua penuntut dari negeri Sarawak yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi
pengambilan ijazah sarjana muda sahaja.

Untuk makluman lanjut, rakan-rakan mahasiswa boleh lah melayari ke pautan di bawah ini:


http://www.ukm.my/e-pelajar/pdf/082011/bul_040811-3.pdf

Sebarang masalah atau kekeliruan bolehlah merujuk atau hubungi mana-mana MPP berhampiran anda. Kebajikan anda adalah tanggungjawab kami..


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI..

Wednesday 3 August 2011

Lagi Isu Perkauman: Iklan TV yang disalahtafsirkan..

Sambil saya mengikuti perkembangan isu semasa terkini di negara Malaysia, saya cukup tertarik dengan salah satu ruangan berita hari ini yang saya perolehi melalui saluran news online MalaysiaKini yang berkait rapat dengan sentimen perkauman yang cuba digembar-gemburkan. Menurut pembacaan yang disiarkan di dada akhbar, dinyatakan bahawa stesen televisyen 8TV memohon maaf berhubung iklan Ramadan yang di-keudarakan seketika sebelum ditarik-balik berikutan bidasan pelbagai pihak bahawa ia berbaur perkauman dan membuat stereotaip berdasarkan bangsa.  

8TV cuba menjelaskan bahawa iklan tersebut sebenarnya berbentuk pengumuman perkhidmatan masyarakat (PSA) sempena bulan Ramadan yang sedang dijalani oleh seluruh umat Islam. Sambil memetik kata-kata seorang ahli falsafah terkenal Austria Karl Popper, wakil 8TV berkata, “Adalah mustahil untuk bercakap dalam cara yang anda tidak akan disalah-tafsir” - dan ini adalah situasi malang yang berlaku akibat iklan PSA Ramadan 8TV.



NONEPada satu daripada tiga iklan itu, ada bahagian watak seorang wanita Cina yang memakai baju tanpa lengan yang ketat sehingga menampakkan ketiaknya dan telah dikaburkan sewaktu dia mengunjungi bazaar Ramadan sambil mendakwa dirinya menjadi tumpuan. Iklan itu kemudiannya menasihatkan penonton agar tidak berpakaian ketat dan mendedahkan. Mereka juga diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dengan gaya terkini dan perlu memahami serta menghormati signifikan Ramadan.


Menurut kenyataan dari 8TV sendiri, “Mesej itu bukan bertujuan menyinggung mana-mana bangsa atau keturunan dalam apa cara sekalipun. Ini adalah kesilapan jujur membabitkan sedikit jenaka yang disalahtafsir dan menjadi kebimbangan sesetengah pihak."

Sehubungan dengan penyalahtafsiran orang ramai terhadap iklan tersebut, pihak 8TV telah mengambil tindakan dengan menarik balik pengumuman perkhidmatan masyarakat itu dan memohon maaf secara terbuka di atas ketidakselesaan sesetengah pihak dan kesulitan yang berlaku akibat penyiaran iklan tersebut.

Dalam situasi ini, saya memuji pihak 8TV kerana telah mengambil langkah bijak dengan memohon maaf secara terbuka kerana penyampaian maklumat yang salah kepada orang ramai terutamanya yang melibatkan isu perkauman ini usahlah diperbesarkan. Dengan permohonan maaf itu, setidak-tidaknya dapat meredakan kemarahan orang ramai dan mengembalikan suasana yang harmoni. Walaupun ada pihak yang beranggapan ini adalah persepsi orang ramai dan 8TV tidak bersalah dalam hal ini, namun kita perlu mengakui kesilapan kita dan perlu merendahkan ego demi menjamin kesejahteraan kaum.

Saya selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak menimbulkan sebarang komplikasi di masa hadapan kerana barangkali ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan mereka hanya bertujuan untuk menyampaikan mesej yang baik tanpa menyedari akan menyentuh isu sensitiviti. Saya juga berharap agar perkara ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang  dan memohon agar semua pihak berhati-hati dalam merencanakan sesuatu untuk kebaikan. Bak kata pepatah, jangan sampai 'yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran".

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"

Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan
Persatuan Mahasiswa UKM 10/11