Assalamu'alaikum, salam Ramadhan dan salam Kemerdekaan.
Sedikit teruja di hati dengan sedikit masa lagi bakal kedengaran kalimah takbir yang bakal berselang dengan lagu-lagu raya yang kini sedang meriah berkumandang. Namun diharapkan ia tidak membantutkan pemburuan kita di hari-hari terakhir Ramadhan.
Selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan, saya mewakili rakan-rakan di Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) pada sesi kali ini ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan ibadah-ibadah sunat yang lain di samping selamat menyambut hari Kebangsaan; serta paling utama Hari Raya Fitrah nanti. Taqaballah-huminna-waminkum. Semoga apa yang telah, sedang dan akan dilakukan di dalam keberkatan dan rahmat daripada-Nya.
Kami di PMUKM ingin berpesan dan memohon kepada rakan-rakan mahasiswa agar berhati-hati ketika memandu kereta atau menunggang motorsikal semasa beraya nanti, serta ketika ingin pulang nanti ke UKM.
Mahasiswa Diajak Ambil Hikmah Ramadhan
Di kesempatan ini juga kami ingin mengajak rakan-rakan supaya kita mengambil hikmah dan mengadaptasikan 'modul ibadah' sepanjang bulan Ramadhan ke dalam kehidupan kita dalam 11 bulan yang seterusnya. Modul-modul yang telah disusun Allah seperti menahan nafsu dengan berpuasa serta mengerjakan qiyamulail di dalam bulan Ramadhan ini harus kita hadam dengan kefahaman yang jelas agar kita tidak menjadi generasi yang sekadar mengikut semata-mata.
Ingin dipesani, bukti kejayaan tarbiyyah Ramadhaniyyah yang telah dilalui adalah apabila kita bukan menjadi golongan Ramadhaniy yang merasa dirinya hamba ketika di bulan Ramadhan sahaja, tetapi kekal istiqamah berterusan merasakan dirinya sebagai hamba Tuhan sepanjang masa.
Mungkin kerana kita di negara ini, kita ditarbiyyah oleh Allah dalam keadaan senang. Ramadhan dihampar ketenangan beribadah, juadah berbuka yang mudah diperolehi dan pelbagai. Justeru kita hanya berasa susah di sebilangan waktu sahaja.
Sesungguhnya tarbiyah Ramadhan mengajar kita untuk mengingati umat manusia di luar sana. Janganlah kita hanya mengaku telah ditarbiyah tetapi kesedaran akan nasib rakyat dunia masih belum timbul.
Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan menegah dari yang mungkar. (Ali Imran 104)
Rakan Bukan Islam Juga Diseru Raikan Bersama
Menariknya pada tahun ini kita bakal menyambut Aidilfitri dan Hari Kebangsaan dalam musim yang sama. Ayuh kita mengambil hikmah di sambutan hari raya Fitrah 1432H dan Hari Kebangsaan ke-54, ini sebagai signal tanda diri kita juga bebas dari kongkongan hawa nafsu. Buktikan bahawa kita adalah generasi yang benar-benar 'merdeka'
Adalah tiada menjadi kesalahan sekiranya rakan-rakan di kalangan bukan Islam turut bersama-sama berkunjung ke rakan-rakan untuk menyambut hari raya Aidilfitri sekaligus membawa roh menyambut hari Merdeka nanti. Selari dengan tema Hari Kebangsaan kita pada kali ini, Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera, maka saya secara peribadi menyeru rakan-rakan bersama menyambut perayaan kali ini dengan jiwa yang merdeka.
Mengakhiri kalam, saya selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan sekali lagi ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1432 H dan selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia Ke-54. Semoga Ramadhan yang bakal berlalu ini banyak memberi hikmah dan pengajaran kepada kita supaya matlamat akhir kita mencapai tahap bertaqwa bakal tercapai.
"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"
Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan
Persatuan Mahasiswa UKM 10/11
No comments:
Post a Comment