Wednesday 30 March 2011

Jom bersedia ke alam pekerjaan bersama PMUKM!

Menarik dari PMUKM!!




Bengkel resume dan interview, View of Success (VIoS)
tarikh : 2/4/11, pendaftaran jam 8.00 pagi
tempat : dewan anuwar mahmud (DAM) fst
anjuran: MPP FST dengan kerjasama PMFST,
bayaran RM 3 sahaja!
sijil dan jamuan disediakan
terbuka kepada semua



Semestinya untuk anda semua! Ayuhh! GEGARKAN!!!

Suara Kampus: Permulaan yang cemerlang dari PMUKM..

Pada 30 Mac 2011, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) telah menganjurkan program sulungnya yang gah dengan namanya SUARA KAMPUS. Program yang dirancang secara berkala ini dijalankan sebagai menunjukkan kecaknaan mahasiswa UKM itu sendiri dalam merespon isu-isu yang berlaku dan diketengahkan baik isu dari dalam negara mahupun luar negara. Dan tajuk yang terpilih untuk program yang julung-julung kalinya diadakan ini semestinya sebagai menunjukkan keprihatinan mahasiswa terhadap tragedi yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini iaitu Dilema Jepun: Antara Tsunami dan Nuklear. Topik kupasan yang saya rasa cukup kuat sehingga mampu menarik minat seramai 178 orang mahasiswa yang memenuhi Dewan Anuwar Mahmud (DAM), di Fakulti Sains Dan Teknologi melebihi daripada bilangan sasaran yang dijangkakan. Tahniah saya ucapkan kepada Biro Akademik PMUKM atas usaha keras mereka bagi merencanakan program ini selari dengan misi UKM iaitu Keintelektualan.


TAHNIAH DAN SYABAS SEKALI LAGI DIUCAPKAN KEPADA SEMUA BARISAN PENGGERAK SUARA KAMPUS YANG TELAH BERJAYA MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB DENGAN BAIK.. GOOD JOB!!



semestinya...


"BERSAMA MAHASISWA REALISASI VARSITI"

Tuesday 29 March 2011

Mohon perhatian mengenai Penempatan Pelajar..


Salam Mahasiswa.. 

Semakan Penempatan Kolej sudah boleh dibuat bermula pada 27 Mac dan pengesahan kolej perlu dibuat sebelum 4 April 2011 di https://smp.ukm.my/upp/. Harap semua rakan-rakan mahasiswa dapat melakukan tindakan pantas sebelum tamat tempoh pengesahan. 
Manakala

Penempatan untuk SEMESTER PENDEK boleh dipohon mulai 5-12 April melalui laman sesawang https://smp.ukm.my/upp/


BERSAMA MAHASISWA REALISASI VARSITI..

Sehari Bersama Mahasiswa UKM KL..


Pada 23 Mac yang lalu, beberapa orang Perwakilan Mahasiswa UKM yang terdiri daripada Presiden MPM sendiri, saudara Ahmad Muzammil, Ezuan Mohd Saad (Setiausaha Agung), saudari Muslimah bt Marsi (Naib Presiden 2); Noraini bt Jumahir (Pengerusi Biro Perpaduan & Masyarakat), Noriah bt Abdul Rahman (Biro Akademik & Intelektual), Nurul Akma Zulkefli (Biro Kebajikan & Aduan) dan Kamarul Hatem Muhammad (Biro Informasi & Penerangan) telah melawat ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus KL sempena siri "Jelajah Sehari Bersama Mahasiswa"


sesi penerangan kepada mahasiswa UKM KL dan ucapan 'GOOD LUCK'
sempena peperiksaan yang semakin hampir.


Siri jelajah ini menunjukkan bahawa tiada sebarang sempadan bagi Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM untuk terus berhubung dengan mahasiswa kampus KL dan Cheras walaupun tidak berada di bawah kampus induk yang sama. Suara mahasiswa di KL dan Cheras pasti akan sampai kepada MPM UKM walaupun kami berada di Bangi kerana Suara Anda adalah Keutamaan Kami walau di mana sahaja anda berada.

Terima kasih diucapkan kepada seluruh mahasiswa/wi UKM kampus KL atas sambutan yang baik kepada kami. Semoga Berjaya diucapkan untuk Final Exam akan datang. All Da Best!

BERSAMA MAHASISWA, REALISASI VARSITI

Monday 21 March 2011

Secebis kata dari Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM..

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala pujian kepada Tuhan sekalian alam, Maha Suci Allah yang telah menciptakan, segala sesuatu terjadi adalah kehendaknya, Penguasa alam Pentadbir semesta. Selawat dan salam buat baginda junjungan, dengan nurnya alam diterangi, dengan hadirnya juga rahmat dilimpahi, Muhammad Rasulullah SAW kekasih tercinta.

firman Allah s.w.t yang bermaksud:

 “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)

Rakan-rakan mahasiswa/wi sekalian,

Sesungguhnya dengan adanya perpaduan itu, maka akan amanlah kehidupan manusia di bumi ini. Tiadanya persengketaan, tiada peperangan, tiada pepecahan dan tiada diskriminasi sesama sendiri. Secara umumnya, seperti yang kita sedia maklum, terdapat tiga kaum yang utama baik di Malaysia mahupun di bumi UKM ini sendiri iaitu Melayu, Cina dan India. Walaupun dari sudut pandangan kita, setiap kaum ini mampu hidup  harmoni di bawah satu bumbung negara yang sama, namun saya masih belum melihat keterikatan dan hubungan yang rapat antara ketiga-tiga kaum ini. Pergaulan dan komunikasi sesama kaum sangat kurang dan hubungan yang sedia ada wujud hanya terarah kepada perkara-perkara ekonomi dan hal-hal yang kecil sahaja. Oleh itu, saya selaku Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan PMUKM bagi sesi kepimpinan yang baru ini amat berharap agar kita semua yang berada di bumi perbukitan ilmu UKM ini khususnya tidak kira kaum, agama dan bangsa dapat bergerak bersama-sama menjunjung matlamat UKM itu sendiri selari dengan moto yang dilakarkan iaitu mengilham harapan, mencipta masa depan.


Cukuplah kita berpegang kepada peribahasa, "bersatu teguh, bercerai roboh". Janganlah kita sendiri bertindak merobohkan benteng-benteng persefahaman sesama kaum yang telah dibina sekian lama. Apa yang telah sedia ada sekarang sudah cantik dan kemas bagi saya, cuma kiranya lebih molek jika ditambah baik dan dieratkan lagi hubungan sosial yang telah dibentuk. Dan saya cukup optimis, sekiranya setiap mahasiswa/wi yang berlainan kaum mengambil positif akan hasrat ini, maka tragedi 13 Mei pasti tidak akan berulang.

Selain itu, saya berharap agar kita selaku mahasiswa yang berintelektual tidak sesekali mewujudkan jurang dengan masyarakat luar. Hal ini kerana kita adalah bakal keluaran universiti yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara seterusnya membawa masyarakat ke arah situasi dan keadaan sosioekonomi yang lebih baik. InsyaAllah saya akan cuba merangka program yang boleh membawa mahasiswa/wi turun kepada masyarakat dengan lebih dekat agar masyarakat di luar tahu bahawa kita sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada mereka kerana mahasiswa berwibawa itu merupakan aset kepada masyarakat.

Akhir kata, "Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan". Bila kita benar-benar ingin bersatu, pasti kesefahaman itu dapat dipupuk. Dan sememangnya satu memori yang manis untuk meninggalkan bumi UKM ini nanti andai kita dapat mengenangkan kembali betapa indahnya hidup bersaudara sesama kita walaupun berlainan kaum dan agama bagai aur dengan tebing, isi dengan kuku.



Sekian dari saya,
Noraini Jumahir.

Sunday 20 March 2011

Perkembangan Isu 'Short Sem': kata putus dipersetujui..

Dimaklumkan bahawa pada minggu lepas, saya telah membawa isu semester pendek ini ke peringkat pentadbiran Pusat Pengajian Umum (PPU) setelah mendengar pelbagai luahan dari mahasiswa/wi yang tidak berjaya mendaftar baik untuk subjek Workplace 1 mahupun subjek U2 & U3 serta subjek Pilihan Bebas (PB). Satu pertemuan telah diadakan untuk saya membawa suara mahasiswa dalam mencari penyelesaian isu yang dikira hangat buat tempoh masa ini. Perbincangan yang saya kira cukup harmoni dan menarik antara saya dan ditemani oleh MPP FST, Nurul Mardhiah Kamaruddin bersama dengan pihak pentadbiran akhirnya menemui kata sepakat buat seluruh mahasiswa/wi.

Bagi penyelesaian untuk subjek U2 & U3, seperti yang sedia maklum, seramai 48 orang mahasiswa/wi tahun 2 & 3 yang mendaftar secara manual di kaunter yang telah dibuka untuk permohonan pembukaan kuota bagi subjek U2 & U3 di PMFST tempoh hari telah diterima untuk didaftarkan oleh PPU. Bagi permohonan pelajar tahun 1 pula tidak dapat diterima memandangkan mereka masih mempunyai baki pengajian yang panjang dan boleh mengatur pengurusan akademik mereka untuk semester berikutnya. Walaubagaimanapun, hasil perbincangan saya bersama pihak PPU, mana-mana pelajar yang masih berhasrat untuk mengikuti pengajian semester pendek ini bagi subjek U2 & U3, anda masih berpeluang untuk mendaftar secara manual kepada pensyarah bagi kursus yang diminati pada minggu pertama semester ini bermula. Hal ini kerana bagi subjek ini, hampir kesemuanya adalah berbentuk penyampaian kuliah. Kebanyakan pensyarah akan lebih bersifat terbuka untuk mengambil seberapa ramai pelajar yang diingini untuk mengikuti kelas beliau. Namun, dinasihatkan kepada mahasiswa/wi yang mendaftar secara manual kepada pensyarah agar selalu mengemas kini status pendaftaran mereka kepada pensyarah tersebut yang akan bertindak untuk mendaftarkan pelajar-pelajar di SMPWEB.

Bagi subjek Workplace pula yang menjadi rebutan majoriti mahasiswa/wi tahun 2, dengan ini dimaklumkan bahawa penambahan kelas TIDAK dapat dijalankan. Hal ini kerana kekurangan tenaga pengajar dalam tempoh semester pendek ini akan menyukarkan perjalanan proses pembelajaran kelak. Untuk makluman semua, tenaga pengajar di PPU mempunyai jadual yang telah disusun kemas untuk perlaksanaan semester pendek setiap tahun. Oleh itu, diharapkan agar kelas workplace yang dibuka diutamakan kepada mereka yang akan tamat pembelajaran bagi sesi ini. 


Walaubagaimanapun, satu jalan penyelesaian dan alternatif telah dirangka bagi memudahkan urusan mahasiswa/wi bagi mengikuti kelas subjek ini pada semester akan datang tanpa berlaku masalah pertindaan dengan subjek fakulti. Menurut pihak PPU, persetujuan telah disepakati antara pihak pentadbiran FST dan PPU bagi menjalankan kerjasama bermula semester hadapan iaitu dengan memberi pengkhususan waktu khas untuk mahasiswa/wi mengambil subjek workplace tanpa bertindih dengan jadual makmal mahupun kuliah-kuliah yang lain. Bagi fakulti lain yang mengalami masalah subjek workplace, iaitu seperti FEP, setakat ini, dilaporkan bahawa senarai pelajar FEP yang memohon untuk workplace telah diterima masuk memandangkan pada semester hadapan mereka akan mengikuti Latihan Industri (LI). Manakala fakulti selain daripada ini, didapati tidak mengalami masalah kritikal dan masih boleh ditangani. Namun, sekiranya terdapat sebarang aduan, masalah atau kekeliruan, anda boleh terus menghubungi saya atau mana-mana MPP yang berdekatan untuk sebarang penerangan.




Saturday 19 March 2011

Tahniah buat penggerak Karnival Kesenian Islam Ungku Omar..


19/3/2011- Tahniah dan syabas saya ucapkan buat penggerak Karnival Kesenian Islam Kolej Ungku Omar yang saya kira cukup berjaya untuk memurnikan konsep islamik sehingga dihadiri oleh non-muslim. Dan aktiviti Pertandingan Nasyid peringkat IPT yang dianjurkan juga mendapat sambutan yang baik daripada IPT-IPT di Malaysia malah berjaya membawakan IPT dari utara yang jauh-jauh belaka. Saya cukup kagum dengan perlaksanaan gerak kerja yang cukup kemas. Antara IPT yang turut serta menghantar wakil nasyid adalah dari Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, IPG kampus Pulau Pinang, IPG kampus Sultan Abdul Halim, UPSI dan tidak lupa juga pada Kumpulan Firasat Inzaar dibawa khas dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Sempat juga untuk saya menikmati persembahan nasyid yang disampaikan oleh Kumpulan Mestica yang cukup hebat dan mereka juga telah dijemput untuk menjadi juri dalam pertandingan nasyid antara IPT yang menampilkan vokalis-vokalis yang mantap.

Selain itu juga, terdapat persembahan teater yang disajikan oleh kontinjen dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang cukup menghiburkan bertajuk "Cintaku Milik Siapa". Dan saya yakin segala apa yang dijalankan dan dirancang oleh penggerak Karnival Kesenian Islam oleh Kolej Ungku Omar ini sebagai titik permulaan untuk kita terus memartabatkan Islam tanpa perlu ada konsep hedonisme. Harapan saya agar kolej-kolej lain boleh mengikuti usaha baik ini demi Islam yang tercinta dan tanpa mewujudkan sempadan dengan agama lain. Banyak lagi aktiviti menarik yang menanti seluruh mahasiswa/wi UKM. Saya menyeru agar rakan-rakan sama-sama untuk memeriahkan lagi suasana di Karnival Islam Ungku Omar. JOM SERBU!!


Friday 18 March 2011

Suara Mahasiswa bergema lagi..


Ayuh semua mahasiswa/wi. Usah berfikir dua kali, sekali datang, pasti tak rugi. Kini suara mahasiswa kembali bergema. Jom ramai-ramai memeriahkan wacana intelektual berterapkan profesionalisme oleh barisan-barisan kepimpinan yang hebat dan dua ahli panel daripadanya terdiri daripada kelahiran UKM yang mantap. 

Bertempat di Ruang Legar PKNS, Bangi pada 19hb (Sabtu) bermula jam 4.45ptg ini.. Menampilkan Presiden PMUKM yang baru, Sdr Ahmad Muzzammil Muhd Hairi, YDP MPP UPM, Iqbal Ismat dan Presiden Src Iium, Sdr Mohamad Iqbal dan akan dimoderatorkan oleh Presiden Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM), Ust MOhd Nazri. 

"BERSAMA MAHASISWA, REALISASI VARSITI

Bertindak sebagai agen penerangan..

9/3/2011- Berkisar tentang isu semester 3, saya telah membawa suara mahasiswa/wi ke peringkat pentadbiran Pusat Pengajian Umum memandangkan mereka mengalami kesulitan untuk mendaftar bagi semester pendek. Hal ini kerana seperti yang dijangkakan, kuota yang dihadkan telah pun penuh dalam masa yang singkat sahaja. Saya telah membuat penerangan di dewan-dewan kuliah bagi menjelaskan kepada mahasiswa/wi akan isu ini yang sedang diperjuangkan di peringkat MPP. Senarai pelajar yang tidak dapat mendaftar telah dikumpulkan sebagai bahan bukti untuk dilampirkan semasa perbincangan bersama pihak PPU bahawa masih ramai lagi pelajar yang tersekat dan tidak dapat mendaftar untuk semester 3. Berdasarkan temu bual bersama beberapa orang mahasiswa, mereka menyatakan bahawa mereka perlu juga untuk mendaftar bagi semester 3 ini memandangkan pada semester depan mereka perlu mengambil unit yang besar. Malah masa yang cukup padat menjadikan mereka berasa mustahil dan tidak sempat untuk mengambil subjek minor seperti Workplace dan juga subjek U2 & U3 kerana perlu memberi fokus lebih terhadap subjek major yang banyak.


sesi penerangan kepada mahasiswa/wi



Pihak MPP memahami akan situasi yang dihadapi mahasiswa/wi dan akan cuba sedaya upaya berunding dengan pihak PPU agar membuka lebih banyak tempat kepada pelajar. Diharapkan agar semua mahasiswa/wi bersabar dan mendoakan agar segala perbincangan berjalan lancar. Susulan mengenai isu "short sem" akan dipaparkan tidak lama lagi setelah keputusan rasmi dipersetujui bersama pihak Pengurusan PPU. 


Isu tikus liar di Aminuddin Baki..

7/3/2011- Seminggu yang lepas, saya telah menerima aduan daripada seorang mahasiswi tahun 2 yang merupakan penghuni di kolej Aminuddin Baki bahawa di tempat kediaman beliau telah dicerobohi oleh tikus liar yang mengganas. Dan pada hari ini, saya telah berkesempatan untuk meninjau ke tempat kejadian bagi menyiasat aduan yang diutarakan itu. Hasil pemerhatian saya, saya yakin bahawa tikus-tikus liar ini berkemungkinan datang dari arah hutan memandangkan blok pengadu tersebut terletak dihujung berhampiran dengan hutan. Selain itu, infrsstruktur yang agak lama, tahap kebersihan kawasan sekitar dan juga perabot-perabot kayu yang lama di dalam bilik mungkin menjadi penyebab untuk tikus liar ini membiak dan menjadikan kawasan kolej kediaman sebagai habitat mereka. Daripada siasatan saya juga, bukan seorang sahaja penghuni bilik yang mengalami masalah ini, tetapi penghuni bilik lain di blok yang sama iaitu blok K6Q juga turut membuat aduan setelah saya bertanyakan isu tikus liar ini di bilik-bilik. Mereka mendakwa bahawa tikus-tikus ini bukan sahaja menrosakkan perabot-perabot kayu di bilik mereka, malah mengganggu ketenteraman mereka untuk mendapatkan suasana yang kondusif kerana ia sering membuat bising dan berlari-lari di hadapan mereka. Tambahan itu, tikus-tikus ini juga menjejaskan simpanan makanan mereka dan dikira berbahaya kerana cuba mengganas. Menurut sumber lagi, saiz tikus-tikus liar ini didapati seperti botol air besar, bermata merah serta ekor yang panjang.


Saya selaku MPP Umum akan cuba berbincang dengan pihak pentadbiran kolej terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah ini sebelum membawa ke peringkat lebih tinggi kerana saya mendapati isu ini adalah serius memandangkan seperti yang kita maklum tikus boleh menyumbang kepada sejenis penyakit berbahaya iaitu penyakit kencing tikus yang akhirnya boleh membawa kepada kematian dalam  masa yang singkat. Beberapa cadangan dari pihak saya yang akan disampaikan kepada pihak pentadbiran adalah seperti melakukan baik pulih di seluruh kawasan kolej terutamanya sewaktu cuti panjang 4 bulan ini khususnya di lokasi sasaran memandangkan dilihat sudah terlalu uzur dan dipercayai menjadi punca utama yang mengundang tikus-tikus liar ini untuk menjadikan kawasan kolej sebagai habitat mereka. Selain itu, membuat pelupusan tikus-tikus liar ini sama ada melalui cara semburan racun tikus di longkang-longkang, lubang-lubang sekitar blok dan kawasan kolej mahupun dengan cara perangkap tikus.

 

Tiba di lokasi terbabit iaitu di blok K6Q


Usaha yang dilakukan penghuni sebagai langkah berjaga-jaga


Almari yang dirosakkan oleh tikus liar tersebut yang dikatakan oleh pengadu akibat mengamuk setelah pengadu melakukan cubaan untuk memerangkap tikus tersebut


keadaan tahap kebersihan yang mungkin menjadi faktor pembiakan tikus liar


Lubang di dalam almari yang dipercayai menjadi pintu masuk kepada tikus liar tersebut tetapi telah disumbat dan menyebabkan tikus tersebut mengamuk.

Tahniah buat UPSM..

7/3/2011- MPM Noraini bersama barisan MPM UKM 10/11 telah menerima jemputan untuk memeriahkan Majlis Perasmian MITRAD 7 anjuran UPSM. Majlis yang dijalankan pada pukul 2.30 petang di Pusanika itu telah dirasmikan sendiri oleh Setiausaha Bahagian Dasar ICT Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Amirudin Bin Abdul Wahab dengan gimik perasmian yang cukup kreatif dari pihak UPSM. Dengan bertemakan "Mencorak Kreativiti Mengilhamkan Inovasi", kami di barisan MPM mengucapkan tahniah dan memuji usaha gigih Urusetia Pembangunan Sumber Manusia (UPSM) dalam mengadakan program seperti ini. Diharapkan agar program ini mampu mencapai objektif yang digariskan iaitu untuk menyediakan prasarana dan mewujudkan budaya penggunaan IT yang berlandaskan kepada matlamat kerajaan iaitu mengurangkan penggunaan kertas dalam kerja seharian serta mewujudkan mahasiswa/wi yang berketrampilan sebagai aset persediaan ke alam pekerjaan dalam kalangan mahasiswa/wi UKM itu sendiri. Akhir kata, tahniah sekali lagi kerana berupaya bergerak maju ke hadapan dan terima kasih kerana sudi menjemput kami.

Pen merah, pen biru,
Terima kasih, thank you.
^_^


Gimik perasmian.. ada robot bercahaya..=)


Terima kasih dari kami, MPM UKM 10/11

Take Action Isu Semester 3..

7/3/2011- Hari pertama pendaftaran semester 3 dibuka. Namun, sebelum tepat jam 12 tengah malam, saya telah dihujani pelbagai persoalan dan kerunsingan daripada mahasiswa/wi yang bimbang mereka tidak akan mendapat tempat untuk mendaftar bagi semester pendek ini. Hal ini kerana seperti yang kita sedia maklum, seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai mahasiswa/wi yang tidak dibenarkan untuk mendaftar kerana kuota yang telah ditetapkan bagi sejumlah pelajar untuk menyertai semester 3 ini telah penuh. Selain itu, saya telah mendapat aduan bahawa terdapat pelajar yang tidak boleh mendaftar bagi semester pendek ini walaupun telah masuk hari pertama pendaftaran dan mereka bimbang mereka tidak sempat untuk mendaftar sekalipun kerana tempat bagi semester 3 ini pasti penuh dalam sekelip mata dan laku seperti pisang goreng panas.

Oleh itu, saya selaku MPM Umum tahun 1 & 2 telah bertindak untuk ke Bahagian Pengurusan Akademik di Canselori tepat jam 9.00 pagi untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu 'short sem' ini. Bagi masalah mahasiswa/wi yang tidak dapat mendaftar pada hari pertama pendaftaran dibuka, pihak Pengurusan Akademik menjelaskan bahawa hari pertama pendaftaran hanya terbuka untuk mahasiswa/wi tahun 3 & 4 sahaja manakala tahun 1 & 2 boleh mula mendaftar pada hari kedua iaitu bersamaan 8 Mac.

 Namun apa yang saya dapati, ada sesetengah mahasiswa/wi tahun 1 & 2 yang sudah boleh mendaftar pada waktu tengah hari dan masih ada lagi yang tidak berjaya. Hal ini kerana berlaku sedikit kekeliruan sistem memandangkan baru hari pertama dibuka dan melihatkan kesesakan di peringkat sistem itu sendiri kerana semua mahasiswa/wi berpusu-pusu untuk mendaftarkan diri. Walaubagaimanapun, pada waktu petang, pendaftaran bagi tahun 1 & 2 telah ditutup kembali setelah melakukan penyelarasan sistem dan dibuka semula pada 8 Mac.

Selain itu, saya juga ada melontarkan soalan bahawa bagaimana dengan hak pelajar tahun 1 & 2 yang ingin mendaftar bagi semester pendek sekiranya pada hari pertama sahaja kuota pelajar telah mencukupi. Dan terang Pihak Pengurusan Akademik, "Pendaftaran dibuka sehingga 13 Mac. Jadi para pelajar tidak perlu risau kerana tempat tetap akan dibuka untuk mereka sehinggalah tamat tempoh 13 Mac. Sama ada mendaftar manual mahupun berurusan di PPU."

Berita lanjut mengenai isu semester pendek ini akan terus dilaporkan. Sekian.


Pantauan air di Za'ba..

6/3/2011- Saya telah ke Kolej Za'ba untuk melihat sejauh mana keseriusan masalah air yang melanda seperti yang diadukan oleh rakan-rakan saya. Sewaktu pantauan dilakukan, Karnival Za'ba (KAPREZA) sedang berjalan menyebabkan pengunjung mengalami kesukaran akibat ketiadaan air. Tempat-tempat yang saya tinjau adalah di Blok E, surau kolej dan juga tandas di Pusat Kemudahan awam. Hasil siasatan mendapati, pada satu masa yang sama, sesetengah tempat masih ada air manakala tempat yang lain tiada air. Isu air ini bukan sahaja berlaku di Za'ba malah di kolej-kolej lain juga yang dipercayai berada di kawasan tinggi seperti Keris Mas, Ibrahim Yaakub dan Aminuddin Baki. Isu ini telah disuarakan oleh MPP Harith dan pihak pentadbiran menjelaskan bahawa ketiadaan air ini adalah berpunca daripada pembinaan yang sedang dijalankan dan air tidak dapat sampai ke kolej-kolej di kawasan tinggi kerana tidak cukup tekanan. InsyaAllah pihak pentadbiran telah menjanjikan untuk menyediakan 20 tangki air di seluruh UKM untuk kemudahan mahasiswa/wi dalam jangka masa singkat ini sementara menunggu pembinaan itu selesai yang dijangka pada bulan April hingga ke bulan Jun. TNC Hepa menasihatkan agar mahasiswa/wi menjimatkan penggunaan air untuk kebaikan bersama.


Jimatkan penggunaan air..

Cakna isu harga di kafe Keris Mas..

28/2/2011- Saya selaku MPM Umum tahun 1 & 2 bersama-sama MPM Umum tahun 3 & 4, Aida Rahayu telah bergerak ke Keris Mas bagi menyelidik tentang aduan pelajar mengenai penetapan harga makanan di kafe Keris Mas yang terlalu mahal dan tidak berbaloi bagi jenis lauk yang diambil. Hasil siasatan yang dijalankan, didapati harga yang diberikan kepada setiap pelajar walaupun jenis makanan hampir sama adalah tidak tetap. Temu bual telah dibuat bersama ketua kafe berkenaan untuk memohon penjelasan. Katanya, "tiada makanan yang mempunyai harga tetap. Selain itu, memandangkan harga barangan di pasaran semakin meningkat, jadi harga makanan yang ditetapkan ini sudah dikira berbaloi". Namun, apa yang pihak MPM dapati adalah sekiranya benar harga barangan runcit semakin meningkat, mengapa pula kafe di Ibrahim Yaakub boleh memberikan harga yang berpatutan kepada pelajar? Kami di pihak MPM memuji pengurusan makanan di Kolej Ibrahim Yaakub dan akan terus mendepani isu ini demi kebajikan mahasiswa. Kredit to MPM Aida yang bertungkus lumus untuk menyelesaikan isu harga makanan di kafe Keris Mas. Nantikan susulan mengenai isu ini yang mungkin memerlukan pihak MPM untuk duduk semeja dengan pengurusan Puri Pujangga memandangkan didapati walaupun pernah bertukar tender suatu masa dulu, kafe Keris Mas masih di bawah kelolaan Syarikat Puri Pujangga. Terang seorang mahasiswa yang telah 2 tahun menginap di Keris Mas.



BONGKAR!!
Jumlah: RM 3.90. Saya dapat murah.. Tapi orang yang beratur sebelum saya ambil lauk yang sama tapi RM4.20. 


nilai seketul paha ayam yang berharga.. =)

Tuesday 15 March 2011

Barisan Kabinet PMUKM 2010/2011..

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah. Tanggal 15 March 2011, tepat jam 10.00 malam, usai majlis watikah perlantikan barisan MPM 2010/2011, maka dengan itu, rasmilah sudah kepimpinan baru mahasiswa yang telah diberi kepercayaan dan mandat oleh mahasiswa/wi UKM. Semoga tampuk pemerintahan pada sesi kali ini lebih profesional dan bergerak seiring dengan matlamat serta visi dan misi universiti ke arah menjadi antara 50 universiti terbaik menjelang tahun 2018 nanti. Kata-kata dan respon balas Naib Canselor yang positif terhadap ucapan dasar Presiden PMUKM yang baru, Saudara Muzammil sedikit sebanyak memberi suntikan semangat yang tinggi buat kepimpinan mahasiswa untuk terus memacu perubahan.

Dengan ini, diisytiharkan, Kabinet PMUKM yang baru yang akan menjadi peneraju kegemilangan mahasiswa.

BARISAN KABINET
Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM (MPMUKM) 
Sesi 2010-2011

Speaker : Mohd Arif Misrol

Presiden : Ahmad Muzammil Muhd Hairi

Timb. Presiden : Mohamad Abdulah Mohd Yusof

Setiausaha : Mohamed Ezuan Mohd Saad

Timb. Setiausaha : Nor Amalina Sazali

Bendahari : Nurazidah Mashan

Naib Presiden I : Phang Siew Chin

Naib Presiden II : Muslimah Marsi

Naib Presiden III : Mohd Faizal Ahmad

Naib Presiden IV : Muhammad Ikram Darus


Biro Kebajikan & Aduan

Pengerusi : Mohd Izzudin Pisol

Mohd Zaim Juwaidi Jamaluddin

Nurul Mardiah Kamarudin

Nurul Akma Zulkiefli


Biro Kerohanian & Pembangunan Insan

Pengerusi : Wan Ahmad Fahmi Wan Abdul Hamed

Mohd Azlan Ismail

Wilfred Mok Kok Hoe

Muhammad Helmi Othman


Biro Siswazah & Antarabangsa

Pengerusi : Abdul Musyrif Mohamad Khalil

Yudha Putra

Rahmad Fauzi Mohd Nasir


Biro Akademik & Intelektual

Pengerusi : Mohamad Idrul Mohamad Daud

Noriah Abdul Rahman

Lim Keng Wei

Umi Nazirah Khairuddin


Biro Keusahawanan & Kerjaya

Pengerusi : Nurazidah Mashan

Mohd Fadhil Razali

Zalika Adilah Zainuren

Mohd Kamal Ali


Biro Informasi & Penerangan

Pengerusi : Aida Rahayu Mohd Badri

Kamarul Hatem Muhammad

Siti Nurul Hidayah Ismail


Biro Perpaduan & Kemasyarakatan

Pengerusi : Noraini Jumahir

Wu Tuan Yuan

Mohamad Noorhisyam bin Saperi


Biro Sukan, Kesenian & Kebudayaan

Pengerusi : Muhammad Harith Abdul Kadir

Lum Kok Kiong

Abdul Muein Abadi 

Saya cukup optimis bahawa barisan kepimpinan pada kali ini mampu bersatu menjalankan amanah dan menjaga kebajikan mahasiswa tanpa ada sebarang agenda tersembunyi. Moga kita dapat sama-sama berjuang untuk mahasiswa dari mahasiswa. 

"SUARA ANDA ADALAH SUARA KAMI, KEBAJIKAN ANDA TANGGUNGJAWAB KAMI, TANGGUNGJAWAB ANDA MEMPERCAYAI KAMI.."

BERSAMA MAHASISWA, REALISASI VARSITI..

~MPM NORAINI~
     16/03/2011