Monday, 21 March 2011

Secebis kata dari Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM..

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala pujian kepada Tuhan sekalian alam, Maha Suci Allah yang telah menciptakan, segala sesuatu terjadi adalah kehendaknya, Penguasa alam Pentadbir semesta. Selawat dan salam buat baginda junjungan, dengan nurnya alam diterangi, dengan hadirnya juga rahmat dilimpahi, Muhammad Rasulullah SAW kekasih tercinta.

firman Allah s.w.t yang bermaksud:

 “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)

Rakan-rakan mahasiswa/wi sekalian,

Sesungguhnya dengan adanya perpaduan itu, maka akan amanlah kehidupan manusia di bumi ini. Tiadanya persengketaan, tiada peperangan, tiada pepecahan dan tiada diskriminasi sesama sendiri. Secara umumnya, seperti yang kita sedia maklum, terdapat tiga kaum yang utama baik di Malaysia mahupun di bumi UKM ini sendiri iaitu Melayu, Cina dan India. Walaupun dari sudut pandangan kita, setiap kaum ini mampu hidup  harmoni di bawah satu bumbung negara yang sama, namun saya masih belum melihat keterikatan dan hubungan yang rapat antara ketiga-tiga kaum ini. Pergaulan dan komunikasi sesama kaum sangat kurang dan hubungan yang sedia ada wujud hanya terarah kepada perkara-perkara ekonomi dan hal-hal yang kecil sahaja. Oleh itu, saya selaku Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan PMUKM bagi sesi kepimpinan yang baru ini amat berharap agar kita semua yang berada di bumi perbukitan ilmu UKM ini khususnya tidak kira kaum, agama dan bangsa dapat bergerak bersama-sama menjunjung matlamat UKM itu sendiri selari dengan moto yang dilakarkan iaitu mengilham harapan, mencipta masa depan.


Cukuplah kita berpegang kepada peribahasa, "bersatu teguh, bercerai roboh". Janganlah kita sendiri bertindak merobohkan benteng-benteng persefahaman sesama kaum yang telah dibina sekian lama. Apa yang telah sedia ada sekarang sudah cantik dan kemas bagi saya, cuma kiranya lebih molek jika ditambah baik dan dieratkan lagi hubungan sosial yang telah dibentuk. Dan saya cukup optimis, sekiranya setiap mahasiswa/wi yang berlainan kaum mengambil positif akan hasrat ini, maka tragedi 13 Mei pasti tidak akan berulang.

Selain itu, saya berharap agar kita selaku mahasiswa yang berintelektual tidak sesekali mewujudkan jurang dengan masyarakat luar. Hal ini kerana kita adalah bakal keluaran universiti yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara seterusnya membawa masyarakat ke arah situasi dan keadaan sosioekonomi yang lebih baik. InsyaAllah saya akan cuba merangka program yang boleh membawa mahasiswa/wi turun kepada masyarakat dengan lebih dekat agar masyarakat di luar tahu bahawa kita sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada mereka kerana mahasiswa berwibawa itu merupakan aset kepada masyarakat.

Akhir kata, "Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan". Bila kita benar-benar ingin bersatu, pasti kesefahaman itu dapat dipupuk. Dan sememangnya satu memori yang manis untuk meninggalkan bumi UKM ini nanti andai kita dapat mengenangkan kembali betapa indahnya hidup bersaudara sesama kita walaupun berlainan kaum dan agama bagai aur dengan tebing, isi dengan kuku.



Sekian dari saya,
Noraini Jumahir.

No comments:

Post a Comment