Sunday 27 November 2011

Sekretariat Pembangunan Siswi satu medium yang baik buat para siswi..


Penubuhan SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI bertitik tolak dari kesedaran bahawa komposisi penuntut wanita yang lebih ramai berbanding penuntut lelaki khususnya di Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjadikan persaingan yang sengit akan berlaku antara penuntut wanita setelah bergelar graduan nanti. Malah, kemungkinan untuk pelajar siswi tidak bekerja adalah tinggi memandangkan penempatan sektor pekerjaan lebih memihak kepada lelaki atau siswa walaupun kuantiti mereka hanyalah sedikit di peringkat pengajian tinggi. Maka menyedari hakikat ini, MPP Noraini Jumahir telah merangka satu jalan untuk meningkatkan kredibiliti pelajar siswi kerana melalui personaliti dan kemahiran interpersonal yang mantap lah yang akan membuatkan seseorang siswi itu kelihatan terkehadapan dan menjadi pilihan di mata masyarakat lebih-lebih di sektor pekerjaan. Dewasa ini, kita boleh lihat bahawa pemilihan seseorang pekerja wanita bukanlah menerusi kehebatannya di atas kertas peperiksaaan tetapi juga melalui penampilan dan gaya interaksi itu sendiri.

Melalui inisiatif dan idea SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI ini, maka MPP Noraini bersama-sama MPP SISWI PMUKM yang lain diwakili oleh Naib Presiden 2 iaitu Saudari Muslimah Marsi selaku pemantau dan memegang portfolio Hal Ehwal Siswi, serta Pengerusi Biro Informasi dan Penerbitan PMUKM, Saudari Aida Rahayu Mohd Badri telah mengadakan perjumpaan khas bersama Prof Madya Dr Madeline Berma selaku Ketua Pusat Kepimpinan Wanita UKM dan juga Puan Shazlinda selaku Ketua Pembangunan Wanita di peringkat fakulti untuk berkongsi idea dan pendapat serta khidmat nasihat mengenai penubuhan sekretariat ini.



Perkongsian yang sungguh menarik pada pagi itu, bersamaan hari Khamis, 24 November 2011 cukup memperlihatkan kemampuan dan kelayakan Prof Madeline selaku Ketua Pusat Kepimpinan Wanita itu. Dengan kepetahan dan keterbukaan beliau, banyak perkara yang dapat dikongsi mengenai strategi pembangunan wanita. Prof Madeline juga turut mengakui bahawa walaupun kuantiti pelajar perempuan adalah ramai di universiti namun ianya sesuatu yang merugikan kerana kebanyakannya tidak membantu ke arah produktiviti negara. Hal ini kerana ramai yang tidak bekerja setelah tamat pengajian.
                                                                                                                
Selain itu, menurutnya, untuk membangunkan wanita, potensi diri juga perlu dibentuk. Hal ini memang bertepatan dengan apa yang MPP Noraini ingin bawakan menerusi penubuhan Sekretariat Pembangunan Siswi ini agar siswi dilihat terkehadapan seiring dengan siswa dengan membentuk potensi diri siswi itu sendiri. Menurut MPP Noraini, “Hal ini dapat saya lihat sendiri pada siswi-siswi kita yang kadang-kadang malu dan segan untuk ke hadapan terutama sewaktu membuat presentation di hadapan kelas dan juga untuk memimpin. Kadang-kadang orang yang sama sahaja yang dipilih untuk menonjolkan diri”. Oleh itu, saya amat berharap agar semua siswi sedar akan peranan mereka. Bukan untuk menunjuk-nunjuk diri hebat, tetapi untuk membina keyakinan diri bahawa kita juga mampu menjadi hebat. Seperti dalam lirik lagu “Fikirkan Boleh” ada dinyatakan bahawa jika kita fikir kita boleh, kita PASTI boleh melakukan.



Sekretariat ini ditubuhkan bukanlah untuk memastikan bahawa semua siswi lepasan universiti wajib bekerja tetapi untuk membangunkan mereka agar dapat memberi sumbangan baik dari segi kewangan, bakat, tenaga dan lain-lain kepada keluarga mahupun negara walaupun tidak bekerja dan mungkin sambil menjaga anak-anak di rumah siapa tahu mungkin. Prof Madeline juga telah menyatakan sokongan beliau terhadap Sekretariat ini dan berkata bahawa pihak Pusat Kepimpinan Wanita juga sedang mengusahakan perkara yang sama memandangkan ianya selari dengan matlamat Pusat Kepimpinan Wanita iaitu sebagai salah satu platform untuk wanita untuk meningkatkan lagi kualiti diri sebagai seorang yang menyumbang kepada masyarakat apabila keluar ke lapangan masyarakat kelak.. Diharapkan agar idea ini dapat membuahkan hasil dan melahirkan lebih ramai siswi yang terkehadapan kerana jangan disangka tangan yang menghayun buaian ini adalah tangan yang tidak mampu menyumbang apa-apa. Yang lembut jangan disangka lemah, pastinya SISWI MANTAP HARAPAN UMMAH.

“SISWI MANTAP, PASTI TERSENTAP”

Wednesday 23 November 2011

Manifesto MPP Noraini mendapat sokongan yang baik..


Pada 23 November 2011, satu pertemuan antara Exco Hal Ehwal Siswi Jaksa Kolej dan Persatuan UKM bersama MPP Siswi PMUKM telah diadakan di Bilik Gerakan HEP pada jam 8.30 malam. Pertemuan ini diadakan atas kesedaran bahawa semua pimpinan siswi di setiap peringkat kawasan perlu bersemuka untuk membincangkan mengenai permasalahan siswi yang merupakan satu perkara yang sangat perlu dititikberatkan. Malahan, sejak akhir-akhir ini, pelbagai insiden berlaku yang melibatkan siswi seperti kemalangan, kes-kes gangguan dan sebagainya.

Satu pertemuan yang cukup santai memandangkan sesama siswi sahaja menjadikan suasana mesyuarat cukup meriah. Hubungan yang baik dapat dijalinkan antara semua wakil siswi baik dari peringkat kolej, anak negeri, persatuan mahasiswa fakulti juga dari Persatuan mahasiswa Islam yang lebih dikenali sebagai Ikatan Studi Islam (ISIUKM). Pelbagai isu dan permasalahan siswi telah dibincangkan dan masing-masing juga turut melontarkan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang berlaku.

Selain itu, MPP Noraini juga turut menyatakan hasrat beliau untuk menubuhkan Sekretariat Pembangunan Siswi atas inisiatif dan bertitik tolak dari komposisi mahasiswa dan mahasiswi yang cukup berbeza dan memberi impak kepada persaingan sengit sesama siswi apabila bergelar graduan nanti. Melalui sekretariat ini, pelbagai perkara dan cadangan dapat dikongsi dengan mudah dan keterikatan yang ada sesama semua siswi diharap dapat membina kredibiliti mahasiswi yang lebih terkehadapan. Malah, pelbagai program untuk membangunkan siswi juga akan dijalankan bertepatan dengan slogan MPP Noraini sendiri, "SISWI MANTAP, PASTI TERSENTAP". 


Terima kasih diucapkan kepada semua wakil siswi yang cukup bersemangat pada malam tadi terutama dalam membincangkan isu siswi, kerana DIRI KITA BEGITU BERHARGA. Juga terima kasih tidak terhingga atas sokongan yang padu kepada barisan MPP Siswi anda.

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"

Saturday 19 November 2011

Potensi Siswi UKM Perlu Digilap - MPP Noraini


Seperti yang kita sedia maklum, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan penuntut di universiti mencatatkan bilangan yang lebih tinggi bagi penuntut perempuan atau mahasiswi berbanding pelajar lelaki ataupun mahasiswa. Hal ini jelas dibuktikan menerusi statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi berikutan jumlah pelajar perempuan yang terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pendaftaran di beberapa universiti pada sesi akademik kali ini menunjukkan perbezaan ketara jumlah penuntut lelaki dan perempuan iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya nisbah ialah 30:70 manakala di Universiti Putra Malaysia pula 33:67.  Namun, bukan soal perangkaan atau nisbah yang ingin saya ketengahkan. Tetapi yang menjadi persoalan utama ialah bagaimana pelajar perempuan atau siswi cuba untuk menonjolkan diri masing-masing memandangkan persaingan yang tinggi sesama mereka sedang berlaku.


Jika kita lihat, majoriti graduan lelaki mudah mendapat pekerjaan walaupun baru sahaja menamatkan pengajian. Hal ini kerana bilangan mereka yang sedikit dan menjadi rebutan di setiap peringkat. Namun, tidak bagi siswi. Walaupun mereka tamat pengajian dengan cemerlang, bilangan graduan siswi yang ramai membuatkan ada di antara mereka yang ketinggalan dan tidak menjadi pilihan walaupun sekeping ijazah sudah berada di tangan mereka. Oleh itu, sukalah saya untuk mengajak para siswi UKM khususnya agar membangunkan potensi dan kredibiliti masing-masing kerana selain akademik, nilai tambah seperti 'softskill' inilah yang akan membezakan kalian dengan graduan siswi yang lain.

Siswi perlu bergerak ke hadapan dan tidak bersifat malu yang tidak kena pada tempatnya. Kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan juga menjadi penilaian utama kerana semestinya setiap agensi pekerjaan inginkan calon yang terbaik untuk menjadi pekerja mereka. Dengan itu, usah pendamkan potensi anda seperti "katak di bawah tempurung", tonjolkan bahawa kalian mampu menjadi yang terbaik dengan menunjukkan keyakinan yang tinggi sewaktu berinteraksi dan aktif dalam setiap bidang serta aktiviti. Tidak mustahil satu hari nanti, ada di kalangan kita yang akan berdiri gah menjadi pemimpin negara wanita pertama.


nantikan kemunculan "SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI". Bersama saya, MPP Noraini untuk menggerakkan kredibiliti dan menggilap potensi siswi UKM.

"SISWI MANTAP PASTI TERSENTAP" 

Selamat menyambut Hari Deepavali..


To all my Indian friends in UKM and in all over the world, wishing all of u Happy Diwali.
 
Paawan Deepavali ka utsav hai aaya..
Charo ore khushiyan hai laya...
Ishwar ki aarti ke sang,
aapke jeevan mein aaye..
sukh aur samriddhi ki tarang.. 

HAPPY DEEPAVALI 2011

sincerely from:

MPP Noraini Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM 10/11

Salam Aidiladha : Umat Islam perlu fahami erti pengorbanan sebenar..


Allahu akbar.. Allahuakbar.. Allahu akbar.. Walillahilhamd..

Untuk menghayati erti sebuah pengorbanan, Ia bukan hanya sekadar dengan lafaz, takbir dan tulisan semata-mata pada hari raya korban, tetapi seseorang yang menghayati erti pengorbanan yang sebenar pasti dapat dilihat melalui tindak tanduk dan kelakuannya sendiri. Perbuatan dan peribadinya menggambarkan dia mengerti pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan, justeru perasaan penghargaannya kepada apa yang telah dia kecapi hasil pengorbanan itu diluahkan dengan pengamalan dan sumbangannya yang dapat memberi manfaat pada orang lain. Pengorbanan kita kepada Allah.. sejauh mana kita sanggup mengabdikan diri kita pada Allah, yang telah terlalu banyak memberi kita nikmat.. Pernahkah kita terfikir soal itu? Namun, masih sedikit manusia yang bersyukur.

Hayatilah lirik lagu ini. Moga2 ianya memberi kesedaran untuk kita agar memahami makna pengorbanan..

Apa erti jihad tanpa pengorbanan
Apa erti kata-kata tanpa dikotakan
Nabi Ibrahim lambang kejujuran
Hati bercahaya penyuluh zaman


Apa erti hamba tanpa ketaatan
Apa erti cinta tanpa pengorbanan
Nabi Ismail contoh tauladan
Sanggup mati untuk Tuhan


Setiap tahun muslimin ke Mekah
Beribadah mengingati sejarah
Berlutut di Baitul Kaabah
Dalam penuh pasrah


Tiada beza darjat
Yang kaya atau melarat
di hadapan Yang Maha Perkasa
Menangislah orang berdosa

SALAM AIDILADHA 1432H BUAT SELURUH UMAT ISLAM
KHUSUSNYA MAHASISWA/WI UKM SEKALIAN..