Sunday, 27 November 2011

Sekretariat Pembangunan Siswi satu medium yang baik buat para siswi..


Penubuhan SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI bertitik tolak dari kesedaran bahawa komposisi penuntut wanita yang lebih ramai berbanding penuntut lelaki khususnya di Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjadikan persaingan yang sengit akan berlaku antara penuntut wanita setelah bergelar graduan nanti. Malah, kemungkinan untuk pelajar siswi tidak bekerja adalah tinggi memandangkan penempatan sektor pekerjaan lebih memihak kepada lelaki atau siswa walaupun kuantiti mereka hanyalah sedikit di peringkat pengajian tinggi. Maka menyedari hakikat ini, MPP Noraini Jumahir telah merangka satu jalan untuk meningkatkan kredibiliti pelajar siswi kerana melalui personaliti dan kemahiran interpersonal yang mantap lah yang akan membuatkan seseorang siswi itu kelihatan terkehadapan dan menjadi pilihan di mata masyarakat lebih-lebih di sektor pekerjaan. Dewasa ini, kita boleh lihat bahawa pemilihan seseorang pekerja wanita bukanlah menerusi kehebatannya di atas kertas peperiksaaan tetapi juga melalui penampilan dan gaya interaksi itu sendiri.

Melalui inisiatif dan idea SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI ini, maka MPP Noraini bersama-sama MPP SISWI PMUKM yang lain diwakili oleh Naib Presiden 2 iaitu Saudari Muslimah Marsi selaku pemantau dan memegang portfolio Hal Ehwal Siswi, serta Pengerusi Biro Informasi dan Penerbitan PMUKM, Saudari Aida Rahayu Mohd Badri telah mengadakan perjumpaan khas bersama Prof Madya Dr Madeline Berma selaku Ketua Pusat Kepimpinan Wanita UKM dan juga Puan Shazlinda selaku Ketua Pembangunan Wanita di peringkat fakulti untuk berkongsi idea dan pendapat serta khidmat nasihat mengenai penubuhan sekretariat ini.



Perkongsian yang sungguh menarik pada pagi itu, bersamaan hari Khamis, 24 November 2011 cukup memperlihatkan kemampuan dan kelayakan Prof Madeline selaku Ketua Pusat Kepimpinan Wanita itu. Dengan kepetahan dan keterbukaan beliau, banyak perkara yang dapat dikongsi mengenai strategi pembangunan wanita. Prof Madeline juga turut mengakui bahawa walaupun kuantiti pelajar perempuan adalah ramai di universiti namun ianya sesuatu yang merugikan kerana kebanyakannya tidak membantu ke arah produktiviti negara. Hal ini kerana ramai yang tidak bekerja setelah tamat pengajian.
                                                                                                                
Selain itu, menurutnya, untuk membangunkan wanita, potensi diri juga perlu dibentuk. Hal ini memang bertepatan dengan apa yang MPP Noraini ingin bawakan menerusi penubuhan Sekretariat Pembangunan Siswi ini agar siswi dilihat terkehadapan seiring dengan siswa dengan membentuk potensi diri siswi itu sendiri. Menurut MPP Noraini, “Hal ini dapat saya lihat sendiri pada siswi-siswi kita yang kadang-kadang malu dan segan untuk ke hadapan terutama sewaktu membuat presentation di hadapan kelas dan juga untuk memimpin. Kadang-kadang orang yang sama sahaja yang dipilih untuk menonjolkan diri”. Oleh itu, saya amat berharap agar semua siswi sedar akan peranan mereka. Bukan untuk menunjuk-nunjuk diri hebat, tetapi untuk membina keyakinan diri bahawa kita juga mampu menjadi hebat. Seperti dalam lirik lagu “Fikirkan Boleh” ada dinyatakan bahawa jika kita fikir kita boleh, kita PASTI boleh melakukan.



Sekretariat ini ditubuhkan bukanlah untuk memastikan bahawa semua siswi lepasan universiti wajib bekerja tetapi untuk membangunkan mereka agar dapat memberi sumbangan baik dari segi kewangan, bakat, tenaga dan lain-lain kepada keluarga mahupun negara walaupun tidak bekerja dan mungkin sambil menjaga anak-anak di rumah siapa tahu mungkin. Prof Madeline juga telah menyatakan sokongan beliau terhadap Sekretariat ini dan berkata bahawa pihak Pusat Kepimpinan Wanita juga sedang mengusahakan perkara yang sama memandangkan ianya selari dengan matlamat Pusat Kepimpinan Wanita iaitu sebagai salah satu platform untuk wanita untuk meningkatkan lagi kualiti diri sebagai seorang yang menyumbang kepada masyarakat apabila keluar ke lapangan masyarakat kelak.. Diharapkan agar idea ini dapat membuahkan hasil dan melahirkan lebih ramai siswi yang terkehadapan kerana jangan disangka tangan yang menghayun buaian ini adalah tangan yang tidak mampu menyumbang apa-apa. Yang lembut jangan disangka lemah, pastinya SISWI MANTAP HARAPAN UMMAH.

“SISWI MANTAP, PASTI TERSENTAP”

No comments:

Post a Comment