Seperti yang kita sedia maklum, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan penuntut di universiti mencatatkan bilangan yang lebih tinggi bagi penuntut perempuan atau mahasiswi berbanding pelajar lelaki ataupun mahasiswa. Hal ini jelas dibuktikan menerusi statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi berikutan jumlah pelajar perempuan yang terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pendaftaran di beberapa universiti pada sesi akademik kali ini menunjukkan perbezaan ketara jumlah penuntut lelaki dan perempuan iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya nisbah ialah 30:70 manakala di Universiti Putra Malaysia pula 33:67. Namun, bukan soal perangkaan atau nisbah yang ingin saya ketengahkan. Tetapi yang menjadi persoalan utama ialah bagaimana pelajar perempuan atau siswi cuba untuk menonjolkan diri masing-masing memandangkan persaingan yang tinggi sesama mereka sedang berlaku.
Jika kita lihat, majoriti graduan lelaki mudah mendapat pekerjaan walaupun baru sahaja menamatkan pengajian. Hal ini kerana bilangan mereka yang sedikit dan menjadi rebutan di setiap peringkat. Namun, tidak bagi siswi. Walaupun mereka tamat pengajian dengan cemerlang, bilangan graduan siswi yang ramai membuatkan ada di antara mereka yang ketinggalan dan tidak menjadi pilihan walaupun sekeping ijazah sudah berada di tangan mereka. Oleh itu, sukalah saya untuk mengajak para siswi UKM khususnya agar membangunkan potensi dan kredibiliti masing-masing kerana selain akademik, nilai tambah seperti 'softskill' inilah yang akan membezakan kalian dengan graduan siswi yang lain.
Siswi perlu bergerak ke hadapan dan tidak bersifat malu yang tidak kena pada tempatnya. Kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan juga menjadi penilaian utama kerana semestinya setiap agensi pekerjaan inginkan calon yang terbaik untuk menjadi pekerja mereka. Dengan itu, usah pendamkan potensi anda seperti "katak di bawah tempurung", tonjolkan bahawa kalian mampu menjadi yang terbaik dengan menunjukkan keyakinan yang tinggi sewaktu berinteraksi dan aktif dalam setiap bidang serta aktiviti. Tidak mustahil satu hari nanti, ada di kalangan kita yang akan berdiri gah menjadi pemimpin negara wanita pertama.
nantikan kemunculan "SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI". Bersama saya, MPP Noraini untuk menggerakkan kredibiliti dan menggilap potensi siswi UKM.
"SISWI MANTAP PASTI TERSENTAP"
No comments:
Post a Comment