Wednesday, 3 August 2011

Lagi Isu Perkauman: Iklan TV yang disalahtafsirkan..

Sambil saya mengikuti perkembangan isu semasa terkini di negara Malaysia, saya cukup tertarik dengan salah satu ruangan berita hari ini yang saya perolehi melalui saluran news online MalaysiaKini yang berkait rapat dengan sentimen perkauman yang cuba digembar-gemburkan. Menurut pembacaan yang disiarkan di dada akhbar, dinyatakan bahawa stesen televisyen 8TV memohon maaf berhubung iklan Ramadan yang di-keudarakan seketika sebelum ditarik-balik berikutan bidasan pelbagai pihak bahawa ia berbaur perkauman dan membuat stereotaip berdasarkan bangsa.  

8TV cuba menjelaskan bahawa iklan tersebut sebenarnya berbentuk pengumuman perkhidmatan masyarakat (PSA) sempena bulan Ramadan yang sedang dijalani oleh seluruh umat Islam. Sambil memetik kata-kata seorang ahli falsafah terkenal Austria Karl Popper, wakil 8TV berkata, “Adalah mustahil untuk bercakap dalam cara yang anda tidak akan disalah-tafsir” - dan ini adalah situasi malang yang berlaku akibat iklan PSA Ramadan 8TV.



NONEPada satu daripada tiga iklan itu, ada bahagian watak seorang wanita Cina yang memakai baju tanpa lengan yang ketat sehingga menampakkan ketiaknya dan telah dikaburkan sewaktu dia mengunjungi bazaar Ramadan sambil mendakwa dirinya menjadi tumpuan. Iklan itu kemudiannya menasihatkan penonton agar tidak berpakaian ketat dan mendedahkan. Mereka juga diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dengan gaya terkini dan perlu memahami serta menghormati signifikan Ramadan.


Menurut kenyataan dari 8TV sendiri, “Mesej itu bukan bertujuan menyinggung mana-mana bangsa atau keturunan dalam apa cara sekalipun. Ini adalah kesilapan jujur membabitkan sedikit jenaka yang disalahtafsir dan menjadi kebimbangan sesetengah pihak."

Sehubungan dengan penyalahtafsiran orang ramai terhadap iklan tersebut, pihak 8TV telah mengambil tindakan dengan menarik balik pengumuman perkhidmatan masyarakat itu dan memohon maaf secara terbuka di atas ketidakselesaan sesetengah pihak dan kesulitan yang berlaku akibat penyiaran iklan tersebut.

Dalam situasi ini, saya memuji pihak 8TV kerana telah mengambil langkah bijak dengan memohon maaf secara terbuka kerana penyampaian maklumat yang salah kepada orang ramai terutamanya yang melibatkan isu perkauman ini usahlah diperbesarkan. Dengan permohonan maaf itu, setidak-tidaknya dapat meredakan kemarahan orang ramai dan mengembalikan suasana yang harmoni. Walaupun ada pihak yang beranggapan ini adalah persepsi orang ramai dan 8TV tidak bersalah dalam hal ini, namun kita perlu mengakui kesilapan kita dan perlu merendahkan ego demi menjamin kesejahteraan kaum.

Saya selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak menimbulkan sebarang komplikasi di masa hadapan kerana barangkali ini adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan mereka hanya bertujuan untuk menyampaikan mesej yang baik tanpa menyedari akan menyentuh isu sensitiviti. Saya juga berharap agar perkara ini tidak akan berlaku lagi di masa akan datang  dan memohon agar semua pihak berhati-hati dalam merencanakan sesuatu untuk kebaikan. Bak kata pepatah, jangan sampai 'yang dikejar tak dapat, yang digendong berciciran".

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"

Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan
Persatuan Mahasiswa UKM 10/11

No comments:

Post a Comment