Thursday, 28 July 2011

Ke arah Transformasi Ramadhan bersama kepimpinan PMUKM sesi 10/11

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Putaran masa yang pantas akhirnya tiba juga detiknya menuju ke bulan barakah Ramadhan Kareem. Kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar (PMUKM) bagi sesi 10/11 di bawah kepimpinan Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dan berharap agar rakan-rakan mahasiswa dapat memanfaatkan peluang yang kita perolehi pada tahun ini dengan sebaiknya. Kerana barangkali ini adalah ruang yang terakhir buat kita untuk membentuk diri sebagai seorang muslim sejati.

"Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa." (2 : 183) 

Satu kelainan pada tahun ini iaitu mahasiswa/wi UKM berpeluang untuk menjalani ibadah puasa sepenuhnya bersama keluarga tercinta berbanding pada tahun sebelumnya bilamana mereka perlu menghabiskan masa di kampus sebelum pulang seminggu awal untuk menyambut hari raya. Namun, terdapat juga antara rakan-rakan kita yang perlu bersengkang mata meneruskan perjuangan di bumi UKM sepanjang bulan Ramadhan ini dan mengorbankan masa berharga mereka bersama keluarga di kejauhan. Antaranya adalah ahli Seretariat Pesta Konvokesyen ke 39 yang sentiasa komited menjalankan amanah mereka. Juga buat mahasiswa yang menjalankan kajian tesis serta pengajian peringkat master dan PhD. 

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh kepimpinan PMUKM sesi 10/11 selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan menyeru kepada semua teman-teman agar bersama-sama melakukan transformasi ke arah yang lebih baik pada tahun ini untuk mencapai tuntutan ibadah yang lebih sempurna. Sejajar dengan matlamat kami dalam menganjurkan program Seminar Transformasi Ramadhan pada 24 Julai yang lepas iaitu untuk mempersiapkan masyarakat ke arah menjalani transformasi di bulan mulia ini baik dari aspek emosi dan spiritual, keintelektualan mahupun fizikal yang disampaikan oleh penceramah hebat. Untuk huraian lanjut, boleh ke laman web ini http://pm-ukm.blogspot.com/2011/07/nilaian-sebuah-seminar-transformasi.html.

Akhir kalam, marilah kita berusaha untuk mendapatkan hasil bulan tarbiyah ini dengan bersungguh-sungguhnya. Hal ini kerana bulan Ramadhan bukan sekadar untuk menahan nafsu makan dan dahaga sahaja, namun juga untuk membentuk peribadi diri yang mulia dan mendidik diri menjaga nafsu serta hati agar sentiasa meletakkan Allah sebagai matlamat diri yang abadi dan menjauhi perkara mungkar dan dilarang syarak.

Ahlan wasahlan Ya Ramadhan..



~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~

No comments:

Post a Comment