Thursday, 14 July 2011

Terbentuknya Perpaduan Mahasiswa 2 Negara..

Salam mahasiswa. Pada 16 Jun 2011 yang lalu, satu pertemuan antara barisan kepimpinan PMUKM 10/11 bersama delegasi kepimpinan dari Persatuan Pelajar Indonesia UKM (PPI UKM) telah diadakan pada pukul 8.30 malam di Bilik Gerakan HEP. Pertemuan ini telah dipersetujui bagi menyambut baik hasrat pihak PPI UKM untuk bersemuka dengan kepimpinan PMUKM bagi menjalin hubungan erat antara mahasiswa di 2 buah negara yang berbeza, Malaysia-Indonesia. Agenda pertemuan telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Saudara Presiden sendiri, iaitu Ahmad Muzzammil Bin Muhd Hairi. 


Rombongan dari PPI UKM ini yang diketuai oleh Saudara Arif Murthi telah membawa bersama mereka satu harapan yang tinggi iaitu agar perpaduan sesama mahasiswa dapat diperkukuh kan walaupun berasal dari negara yang berbeza. Hasrat mereka ini telah disuarakan kepada PMUKM agar mereka tidak seperti di anak tirikan. Menurut Presiden PPI UKM itu lagi, rentetan dari peristiwa percetusan antara Malaysia-Indonesia yang pernah melanda, beliau amat berharap agar ianya tidak memberi kesan kepada mahasiswa Malaysia dan Indonesia yang berada di UKM yang akhirnya mampu menyebabkan perpecahan.



Pihak PPI UKM telah menanam hasrat untuk mengadakan kerjasama perpaduan dengan PMUKM pada masa akan datang dalam menjalankan satu program yang memperlihatkan bahawa mahasiswa baik dari Malaysia mahupun Indonesia memiliki ciri yang sama antara mereka. PMUKM menyambut baik cadangan ini dan sedang merangka gerak kerja yang mampu menghubungkan sesama mahasiswa walaupun mereka memiliki sedikit perbezaan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada delegasi dari PPI UKM kerana sudi mengadakan perbincangan bersama PMUKM.



Saya, Noraini Binti Jumahir selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM 10/11 turut berbesar hati dengan jalinan persahabatan ini dan berharap agar segala perancangan yang dibentuk dapat direalisasikan demi matlamat kesatuan dan perpaduan yang pastinya tidak dipisahkan dari agenda keintelektualan yang digalas oleh kepimpinan PMUKM pada kali ini. Kami juga terbuka tangan untuk menerima huluran persahabatan dari seluruh persatuan mahupun mana-mana pihak dalam bersama-sama mendokong pembawakan PMUKM sesi ini.

Nantikan program-program akan datang berteraskan perpaduan dan kemasyarakatan yang akan menanti anda.. :)

~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~

No comments:

Post a Comment