Alhamdulillah, selesai sudah perlaksanaan Hari Masyarakat Prihatin yang diusahakan oleh Sekretariat Pesta Konvokesyen ke 39 UKM pada 17 Julai 2011, hari Ahad yang lalu. Program yang dijalankan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi ini berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari para penduduk. Saya cukup bangga dengan penduduk sekitar Bangi yang sangat memberikan sokongan terhadap pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Sekretariat Pesta Konvo ke 39 ini daripada aktiviti mass marketing hinggalah ke program besar ini. Tidak hairanlah Bangi ini digelar bandar ilmu dengan melihatkan masyarakat sekelilingnya yang berfikiran intelek yang sentiasa membantu menjayakan program yang dibuat oleh mahasiswa.
Di samping itu, saya selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM sesi 10/11 memuji usaha Sekretariat Pesta Konvo ke 39 kerana sudi turun padang dan menganjurkan aktiviti yang bersifat kemasyarakatan lebih-lebih lagi program yang meraikan golongan kurang upaya seperti kanak-kanak sindrome down dan anak-anak yatim yang dijemput hadir memeriahkan majlis. Saya cukup gembira melihat kanak-kanak ini ceria sepanjang program diadakan. Selaku golongan yang prihatin, kita seharusnya tidak menyisihkan mereka yang kurang upaya ini dan mereka yang telah kehilangan ahli keluarga kerana mereka juga memerlukan kasih sayang dan layanan mesra dari masyarakat sekeliling. Mereka juga insan biasa yang sentiasa inginkan perhatian kita semua.
Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti yang berjaya merapatkan hubungan silaturrahim sesama penduduk Bandar Baru Bangi turut dijalankan. Antaranya seperti senam robik, pertandingan mewarna, sukaneka, explorace bersama anak-anak yatim, sukan rakyat dan sebagainya. Melalui aktiviti sebeginilah perpaduan rakyat dapat dibentuk. Yang jauh didekatkan, yang rapat makin dieratkan.
Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada seluruh Sekretariat Pesta Konvokesyen ke 39 yang sentiasa komited dalam menjalankan gerak kerja tanpa melupakan agenda kemasyarakatan. Sememangnya saya serta seluruh barisan kepimpinan PMUKM 10/11 sentiasa menyokong usaha kalian dalam menjayakan pesta Konvo pada tahun ini. Terbaik dari saya untuk kalian semua. Teruskan usaha kalian. Mahasiswa pencetus keprihatinan masyarakat.. =)
~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~
No comments:
Post a Comment