Friday, 17 June 2011

Ke arah pembentukan masyarakat sebagai kunci kebaikan..

Dalam kehidupan bermasyarakat, tidak dapat tidak, pastinya kita akan bersua atau bertemu dengan sesiapa sahaja setiap hari sama ada pertemuan itu dirancang mahupun secara spontan. Dan semestinya setiap pertemuan itu mempunyai tujuan dan matlamatnya tersendiri. Sebagai contoh, jika seseorang itu merupakan doktor, lazimnya orang yang bertemu dengan mereka adalah pesakit yang memerlukan khidmat nasihat dan rawatan. Begitu juga bagi seorang ustaz, individu yang akan menemuinya adalah mereka yang ingin menuntut ilmu dan ingin meminta nasihat agama. 

Melalui pergaulan seperti ini, setiap individu yang bertemu dengan kita mampu untuk menilai imej dan identiti diri kita. Malah, orang-orang di sekeliling yang mendekati kita juga sudah cukup untuk mempamerkan bagaimana diri kita dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana seseorang itu dapat dikenali dalam masyarakatnya hanya dengan melihat siapakah orang-orang yang kerap mengunjunginya. Oleh itu, setiap dari kita haruslah memanfaatkan pertemuan-pertemuan yang berlaku dalam kehidupan seharian kita dengan menunjukkan contoh teladan yang baik dan akhlak yang mulia. Mana mungkin seorang penjahat ingin berjumpa dengan seseorang yang berbudi pekerti untuk meminta nasihat bagaimana untuk melakukan kejahatan dan tips-tips cemerlang dalam melakukan kejahatan. Pastinya jika seseorang yang berkelakuan tidak baik terdetik untuk menemui mereka yang baik adalah untuk meminta nasihat ke arah memperbaiki diri. Setiap individu yang memiliki masalah juga akan pergi menemui seseorang yang baginya mampu untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Malah, orang yang sedia baik juga akan menemui mereka yang lebih baik dari diri mereka bertujuan untuk mendapatkan sesuatu manfaat.

Sahl bin Sa'ad R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Bermula sesuatu yang baik ibarat peti besi, dan bagi setiap peti besi ada anak kuncinya, maka berbahagialah bagi orang yang Allah S.W.T jadikan dia sebagai anak kunci kebajikan dan penghalang kepada kejahatan. Sebaliknya, celaka (neraka) bagi seseorang yang menjadi kunci kepada kejahatan dan penghalang kepada kebaikan."  (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Hadis di atas menggambarkan bahawa setiap permasalahan pasti ada kunci penyelesaian. Justeru, setiap masyarakat perlu menjadi kunci kebaikan itu kerana golongan ini amat diperlukan memandangkan di tangan mereka terletaknya usaha perbaikan dalam kalangan masyarakat itu sendiri. Setiap dari kita haruslah menjadi peneraju ke arah kebaikan dan penyelesaian seperti yang dimaksudkan di atas dan cuba menghalang dari sebarang kejahatan. 

Pada hemat saya, jika setiap individu dalam pelbagai lapisan masyarakat mempunyai kesedaran ke arah menjadi kunci kebaikan itu, pastinya tidak akan berlaku sebarang perkara-perkara yang berunsur keburukan. Malah jika saya kaitkan dengan konteks perpaduan itu sendiri, pastinya kewujudan masyarakat seperti ini dapat membanteras dari tercetusnya perpecahan sesama manusia. Untuk menjadi ke arah itu, adalah perkara yang mudah, hanya bergantung pada diri kita sama ada hendak lakukannya atau tidak. Ianya bukanlah sesuatu yang sukar kerana tugas kita hanyalah memberi bimbingan ke arah kebaikan dan tidak menghasut orang lain  mahupun berhasad dengki sehingga terlahirnya golongan-golongan yang cuba membawa agenda jahat demi kepentingan peribadi contohnya seperti membuli, merompak, bertikam lidah, berebut kuasa dan sebagainya. Bak kata pepatah, 'bersatu teguh, bercerai roboh'.

mampukah kita menjadi kunci kebaikan itu??



"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"

oleh:

Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan
PMUKM 10/11

No comments:

Post a Comment