Kehangatannya kian terasa. Bahang Pilihanraya umum (PRU) semakin menyengat bagi mereka yang mengambil tahu akan isu politik dan pentadbiran negara. Begitu juga gendang pilihanraya kampus bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah dipalu meskipun tarikh yang lebih jelas belum diumumkan. Alangkah baiknya jika pemilihan pemimpin ini dilaksanakan dengan baik dan penuh keamanan. Namun, sketsa politik kini tidak seindah yang diimpikan. Lebih drama dari kelayakan yang patut ditonjolkan. Baik politik negara mahupun kampus, kedua-duanya mengalami suasana yang tidak kurang bezanya.
Kebelakangan ini ramai orang begitu taksub dengan politik masing-masing sehingga berulang kali merendahkan kemampuan intelektual dan memilih hanya mempercayai hal yang ingin mereka percaya. Oleh kerana taksub dan mempunyai sifat benci yang tinggi pada lawan, puak dari pelbagai kubu politik seringkali menerima apa saja yang disaji tanpa memeriksa kebenaran informasi yang diterima.
Kebebasan berfikir dan memilih dengan baik yang menjadi tanggungjawab rakyat hari ini telah menjadi lebih sulit. Rakyat disaji dengan drama politik yang sering memberi fakta-fakta putar belit yang mengelirukan dan berfokus untuk berkata buruk terhadap pihak lawan.
Tak lama dahulu kempen-kempen politik adalah demi meyakinkan pemilih tentang perkara yang boleh dilakukan oleh calon yang bertanding. Agenda bangsa, negara selalu menjadi fokus kempen. Pada ketika itu, pemilih memilih orang yang benar-benar boleh mewakili mereka dan suara-suara mereka. Hari ini mereka yang terpilih bergantung kepada kepandaian calon mencaci cerca lawan. Kemenangan tidak tergantung kepada kualiti calon terpilih tetapi bergantung kepada keburukan pihak lawan yang ditaburkan.
Kini rakyat Malaysia yang boleh mengundi terbahagi kepada tiga golongan. Satu dan dua adalah mereka yang begitu anti kerajaan dan anti pembangkang. Ketiga adalah golongan yang malas mengambil tahu. Golongan ketiga ini terbagi pula kepada dua. Satu mereka yang malas mengambil tahu kerana kurang berminat, tetapi yang lebih ramai adalah mereka yang malas mengambil tahu kerana muak dengan permainan politik yang nampak berat dan memualkan.
Ini satu fenomena yang menyedihkan. Rakyat dan pemilih yang baik adalah mereka yang seharusnya memilih kerana menyokong, bukan membenci. Budaya menyokong calon yang ingin dipilih akan menghasilkan keputusan yang lebih baik. Pemilih sebegini akan meletakkan 'kayu ukur' sebelum memilih pemimpin mereka. Ciri-ciri seperti calon yang lebih bijak, mampu mewakili pemilih dengan lebih baik, tidak angkuh atau sombong boleh dijadikan antara kriteria.
Tetapi kini, sebaliknya pula yang berlaku. Senjata untuk meraih undi dan hati pemilih adalah dengan menjatuhkan pihak lawan. Bukannya menonjolkan kebolehan yang ada pada diri. Semakin hebat kita menjatuhkan pihak lawan, semakin hampir dengan kemenangan. Strategi yang dirasakan cukup ampuh memandangkan sikap rakyat kini mudah menerima sesuatu yang didengar dari membongkar kebenarannya.
Usahlah kita melaga-lagakan rakyat dan mengadai perpaduan sesama mereka untuk mendapatkan kuasa. Dengan pelbagai teknik kotor untuk menjatuhkan pihak lawan pasti akan membuatkan penyokong kepada calon yang diburukkan akan berbalah dengan penyokong calon yang lain dan masing-masing akan terus dikaburi dengan cerita-cerita dongeng. Manakala permusuhan terus berlanjutan demi mempertahankan calon pilihan.
Rentak politik seperti ini perlu dijauhkan dari corak politik Malaysia. Politik benci mungkin berhasil untuk membuat pemilih membenci pihak lawan dan akhirnya tidak ada pilihan melainkan dengan memilih pihak yang satu lagi tetapi cara ini tidak akan membawa Malaysia menjadi negara yang lebih baik. Politik berunsur kotor ini akan melalaikan perjuangan, melambatkan pertumbuhan, menjadi risiko kepada rusuhan dan seterusnya memusnahkan semua yang telah tercapai. Mungkin secara peribadi ia akan menguntungkan pihak yang akan menang, hakikatnya secara keseluruhan ia mampu merosakkan Malaysia.
Tidak salah untuk berpolitik secara lebih sihat. Rakyat Malaysia dan pemilih hari ini sudah tentu mereka yang lebih bijak mengetahui apa yang lebih baik buat mereka. Jangan terlalu takut akan kekalahan atau terlalu taksub ingin berkuasa. Malaysia sudah berada di landasan yang baik dan pemimpin yang ideal adalah mereka yang menolak kepentingan diri sendiri dan sama-sama lebih bertanggungjawab membawa Malaysia ke hadapan dengan baik. Kita inginkan pemimpin yang mampu memimpin bukan pemimpin yang ingin berkuasa.
Be gentleman and let the best man win..
No comments:
Post a Comment