Monday, 5 December 2011

MPP Noraini bentang "Sekretariat Pembangunan Siswi" di Festival Mahasiswi Nasional UM..

Baru-baru ini, pada 2 hingga 4 Disember 2011, telah diadakan Festival Mahasiswi Nasional (FEMINA) kali ke 2 di Universiti Malaya. Antara universiti lain yang turut serta dalam program khas siswi ini adalah seperti UPSI, UUM, UTM, UiTM, USIM, UTP dan UniKL-Micet. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga tidak ketinggalan untuk menghantar wakil yang terdiri daripada dua orang MPP Siswi PMUKM iaitu Saudari Muslimah Marsi selaku Naib Presiden II PMUKM dan juga MPP Noraini Jumahir selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM. UKM juga turut menghantar beberapa wakil siswi lain antaranya Saudari Siti Hajar Yussof, Saudari Aida Tokachil dan Saudari Noraini Masri dalam merealisasikan agenda membangunkan potensi siswi.

Pelbagai program telah dijalankan sepanjang Festival Mahasiswi Nasional (FEMINA) ini diadakan seperti forum "Manisnya menjadi Seorang wanita", Perbincangan mahasiswi berkaitan "Pendidikan Kesihatan Reproduktif", Ceramah "How to make you Beautiful" dan juga forum "Dua Dunia: Serupa tapi tidak Sama" yang menampilkan pelbagai tetamu jemputan yang hebat-hebat seperti Ustazah Asni, artis Wardina Safiyyah dan Farah Deeba, Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) Fedtri Yahya, Imam Muda Hizbur, Hajjah Raja Mazian dan ramai lagi. Selain itu, aktiviti khidmat masyarakat turut diadakan di 3 buah tempat yang berbeza iaitu rumah warga emas, rumah anak-anak yatim dan rumah orang kurang upaya (OKU) bagi melahirkan siswi yang prihatin di samping membentuk kredibiliti siswi dalam mengendalikan masyarakat dan memberi sumbangan tenaga serta masa kepada insan yang memerlukan.




Persidangan meja bulat antara wakil-wakil siswi setiap kampus turut diadakan pada malam terakhir bagi mencari solusi berkaitan pembangunan wanita dan juga keperluan Pendidikan Kesihatan Reproduktif sama ada untuk diteruskan atau dimansuhkan. Sewaktu persidangan dijalankan, hampir kesemua wakil siswi UKM telah bangkit menyuarakan idea dan pandangan masing-masing antaranya MPP Muslimah Marsi, MPP Noraini, Saudari Aida Tokachil dan juga Saudari Siti Hajar. Berteraskan tema "The real Women" dan objektif program yang bertepatan dengan apa yang dibawakan oleh MPP Noraini menerusi manifestonya, maka idea penubuhan Sekretariat Pembangunan Siswi telah dibentangkan kepada semua perwakilan yang hadir sebagai platform untuk memastikan siswi terus mahu ke hadapan dan menyumbang kepada masyarakat setelah bergelar graduan nanti. 




Hasil perbahasan dan hujah-hujah dari beberapa perwakilan yang bangkit bersuara, idea dan cadangan MPP Noraini telah diterima dengan memperkasakan platform siswi yang sedia ada iaitu SENADA yang telah terkubur dan akan dihidupkan semula dalam memastikan pelbagai agenda pembangunan siswi terus berjalan di bawah kerjasama bersama Kementerian Pembangunan Wanita & Keluarga serta NAM Institute for the Empowerment of Women (NIEW).


Tahniah kepada MPP Noraini Jumahir dan juga kepada semua perwakilan siswi UKM yang sentiasa ke hadapan dalam menyuarakan pendapat dan semasa membuat pembentangan kumpulan. Semestinya "SISWI MANTAP PASTI TERSENTAP"




BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI


Sunday, 27 November 2011

Sekretariat Pembangunan Siswi satu medium yang baik buat para siswi..


Penubuhan SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI bertitik tolak dari kesedaran bahawa komposisi penuntut wanita yang lebih ramai berbanding penuntut lelaki khususnya di Universiti Kebangsaan Malaysia telah menjadikan persaingan yang sengit akan berlaku antara penuntut wanita setelah bergelar graduan nanti. Malah, kemungkinan untuk pelajar siswi tidak bekerja adalah tinggi memandangkan penempatan sektor pekerjaan lebih memihak kepada lelaki atau siswa walaupun kuantiti mereka hanyalah sedikit di peringkat pengajian tinggi. Maka menyedari hakikat ini, MPP Noraini Jumahir telah merangka satu jalan untuk meningkatkan kredibiliti pelajar siswi kerana melalui personaliti dan kemahiran interpersonal yang mantap lah yang akan membuatkan seseorang siswi itu kelihatan terkehadapan dan menjadi pilihan di mata masyarakat lebih-lebih di sektor pekerjaan. Dewasa ini, kita boleh lihat bahawa pemilihan seseorang pekerja wanita bukanlah menerusi kehebatannya di atas kertas peperiksaaan tetapi juga melalui penampilan dan gaya interaksi itu sendiri.

Melalui inisiatif dan idea SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI ini, maka MPP Noraini bersama-sama MPP SISWI PMUKM yang lain diwakili oleh Naib Presiden 2 iaitu Saudari Muslimah Marsi selaku pemantau dan memegang portfolio Hal Ehwal Siswi, serta Pengerusi Biro Informasi dan Penerbitan PMUKM, Saudari Aida Rahayu Mohd Badri telah mengadakan perjumpaan khas bersama Prof Madya Dr Madeline Berma selaku Ketua Pusat Kepimpinan Wanita UKM dan juga Puan Shazlinda selaku Ketua Pembangunan Wanita di peringkat fakulti untuk berkongsi idea dan pendapat serta khidmat nasihat mengenai penubuhan sekretariat ini.



Perkongsian yang sungguh menarik pada pagi itu, bersamaan hari Khamis, 24 November 2011 cukup memperlihatkan kemampuan dan kelayakan Prof Madeline selaku Ketua Pusat Kepimpinan Wanita itu. Dengan kepetahan dan keterbukaan beliau, banyak perkara yang dapat dikongsi mengenai strategi pembangunan wanita. Prof Madeline juga turut mengakui bahawa walaupun kuantiti pelajar perempuan adalah ramai di universiti namun ianya sesuatu yang merugikan kerana kebanyakannya tidak membantu ke arah produktiviti negara. Hal ini kerana ramai yang tidak bekerja setelah tamat pengajian.
                                                                                                                
Selain itu, menurutnya, untuk membangunkan wanita, potensi diri juga perlu dibentuk. Hal ini memang bertepatan dengan apa yang MPP Noraini ingin bawakan menerusi penubuhan Sekretariat Pembangunan Siswi ini agar siswi dilihat terkehadapan seiring dengan siswa dengan membentuk potensi diri siswi itu sendiri. Menurut MPP Noraini, “Hal ini dapat saya lihat sendiri pada siswi-siswi kita yang kadang-kadang malu dan segan untuk ke hadapan terutama sewaktu membuat presentation di hadapan kelas dan juga untuk memimpin. Kadang-kadang orang yang sama sahaja yang dipilih untuk menonjolkan diri”. Oleh itu, saya amat berharap agar semua siswi sedar akan peranan mereka. Bukan untuk menunjuk-nunjuk diri hebat, tetapi untuk membina keyakinan diri bahawa kita juga mampu menjadi hebat. Seperti dalam lirik lagu “Fikirkan Boleh” ada dinyatakan bahawa jika kita fikir kita boleh, kita PASTI boleh melakukan.



Sekretariat ini ditubuhkan bukanlah untuk memastikan bahawa semua siswi lepasan universiti wajib bekerja tetapi untuk membangunkan mereka agar dapat memberi sumbangan baik dari segi kewangan, bakat, tenaga dan lain-lain kepada keluarga mahupun negara walaupun tidak bekerja dan mungkin sambil menjaga anak-anak di rumah siapa tahu mungkin. Prof Madeline juga telah menyatakan sokongan beliau terhadap Sekretariat ini dan berkata bahawa pihak Pusat Kepimpinan Wanita juga sedang mengusahakan perkara yang sama memandangkan ianya selari dengan matlamat Pusat Kepimpinan Wanita iaitu sebagai salah satu platform untuk wanita untuk meningkatkan lagi kualiti diri sebagai seorang yang menyumbang kepada masyarakat apabila keluar ke lapangan masyarakat kelak.. Diharapkan agar idea ini dapat membuahkan hasil dan melahirkan lebih ramai siswi yang terkehadapan kerana jangan disangka tangan yang menghayun buaian ini adalah tangan yang tidak mampu menyumbang apa-apa. Yang lembut jangan disangka lemah, pastinya SISWI MANTAP HARAPAN UMMAH.

“SISWI MANTAP, PASTI TERSENTAP”

Wednesday, 23 November 2011

Manifesto MPP Noraini mendapat sokongan yang baik..


Pada 23 November 2011, satu pertemuan antara Exco Hal Ehwal Siswi Jaksa Kolej dan Persatuan UKM bersama MPP Siswi PMUKM telah diadakan di Bilik Gerakan HEP pada jam 8.30 malam. Pertemuan ini diadakan atas kesedaran bahawa semua pimpinan siswi di setiap peringkat kawasan perlu bersemuka untuk membincangkan mengenai permasalahan siswi yang merupakan satu perkara yang sangat perlu dititikberatkan. Malahan, sejak akhir-akhir ini, pelbagai insiden berlaku yang melibatkan siswi seperti kemalangan, kes-kes gangguan dan sebagainya.

Satu pertemuan yang cukup santai memandangkan sesama siswi sahaja menjadikan suasana mesyuarat cukup meriah. Hubungan yang baik dapat dijalinkan antara semua wakil siswi baik dari peringkat kolej, anak negeri, persatuan mahasiswa fakulti juga dari Persatuan mahasiswa Islam yang lebih dikenali sebagai Ikatan Studi Islam (ISIUKM). Pelbagai isu dan permasalahan siswi telah dibincangkan dan masing-masing juga turut melontarkan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang berlaku.

Selain itu, MPP Noraini juga turut menyatakan hasrat beliau untuk menubuhkan Sekretariat Pembangunan Siswi atas inisiatif dan bertitik tolak dari komposisi mahasiswa dan mahasiswi yang cukup berbeza dan memberi impak kepada persaingan sengit sesama siswi apabila bergelar graduan nanti. Melalui sekretariat ini, pelbagai perkara dan cadangan dapat dikongsi dengan mudah dan keterikatan yang ada sesama semua siswi diharap dapat membina kredibiliti mahasiswi yang lebih terkehadapan. Malah, pelbagai program untuk membangunkan siswi juga akan dijalankan bertepatan dengan slogan MPP Noraini sendiri, "SISWI MANTAP, PASTI TERSENTAP". 


Terima kasih diucapkan kepada semua wakil siswi yang cukup bersemangat pada malam tadi terutama dalam membincangkan isu siswi, kerana DIRI KITA BEGITU BERHARGA. Juga terima kasih tidak terhingga atas sokongan yang padu kepada barisan MPP Siswi anda.

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI"

Saturday, 19 November 2011

Potensi Siswi UKM Perlu Digilap - MPP Noraini


Seperti yang kita sedia maklum, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan penuntut di universiti mencatatkan bilangan yang lebih tinggi bagi penuntut perempuan atau mahasiswi berbanding pelajar lelaki ataupun mahasiswa. Hal ini jelas dibuktikan menerusi statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi berikutan jumlah pelajar perempuan yang terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011. Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pendaftaran di beberapa universiti pada sesi akademik kali ini menunjukkan perbezaan ketara jumlah penuntut lelaki dan perempuan iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya nisbah ialah 30:70 manakala di Universiti Putra Malaysia pula 33:67.  Namun, bukan soal perangkaan atau nisbah yang ingin saya ketengahkan. Tetapi yang menjadi persoalan utama ialah bagaimana pelajar perempuan atau siswi cuba untuk menonjolkan diri masing-masing memandangkan persaingan yang tinggi sesama mereka sedang berlaku.


Jika kita lihat, majoriti graduan lelaki mudah mendapat pekerjaan walaupun baru sahaja menamatkan pengajian. Hal ini kerana bilangan mereka yang sedikit dan menjadi rebutan di setiap peringkat. Namun, tidak bagi siswi. Walaupun mereka tamat pengajian dengan cemerlang, bilangan graduan siswi yang ramai membuatkan ada di antara mereka yang ketinggalan dan tidak menjadi pilihan walaupun sekeping ijazah sudah berada di tangan mereka. Oleh itu, sukalah saya untuk mengajak para siswi UKM khususnya agar membangunkan potensi dan kredibiliti masing-masing kerana selain akademik, nilai tambah seperti 'softskill' inilah yang akan membezakan kalian dengan graduan siswi yang lain.

Siswi perlu bergerak ke hadapan dan tidak bersifat malu yang tidak kena pada tempatnya. Kemahiran berkomunikasi dan kepimpinan juga menjadi penilaian utama kerana semestinya setiap agensi pekerjaan inginkan calon yang terbaik untuk menjadi pekerja mereka. Dengan itu, usah pendamkan potensi anda seperti "katak di bawah tempurung", tonjolkan bahawa kalian mampu menjadi yang terbaik dengan menunjukkan keyakinan yang tinggi sewaktu berinteraksi dan aktif dalam setiap bidang serta aktiviti. Tidak mustahil satu hari nanti, ada di kalangan kita yang akan berdiri gah menjadi pemimpin negara wanita pertama.


nantikan kemunculan "SEKRETARIAT PEMBANGUNAN SISWI". Bersama saya, MPP Noraini untuk menggerakkan kredibiliti dan menggilap potensi siswi UKM.

"SISWI MANTAP PASTI TERSENTAP" 

Selamat menyambut Hari Deepavali..


To all my Indian friends in UKM and in all over the world, wishing all of u Happy Diwali.
 
Paawan Deepavali ka utsav hai aaya..
Charo ore khushiyan hai laya...
Ishwar ki aarti ke sang,
aapke jeevan mein aaye..
sukh aur samriddhi ki tarang.. 

HAPPY DEEPAVALI 2011

sincerely from:

MPP Noraini Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM 10/11

Salam Aidiladha : Umat Islam perlu fahami erti pengorbanan sebenar..


Allahu akbar.. Allahuakbar.. Allahu akbar.. Walillahilhamd..

Untuk menghayati erti sebuah pengorbanan, Ia bukan hanya sekadar dengan lafaz, takbir dan tulisan semata-mata pada hari raya korban, tetapi seseorang yang menghayati erti pengorbanan yang sebenar pasti dapat dilihat melalui tindak tanduk dan kelakuannya sendiri. Perbuatan dan peribadinya menggambarkan dia mengerti pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan, justeru perasaan penghargaannya kepada apa yang telah dia kecapi hasil pengorbanan itu diluahkan dengan pengamalan dan sumbangannya yang dapat memberi manfaat pada orang lain. Pengorbanan kita kepada Allah.. sejauh mana kita sanggup mengabdikan diri kita pada Allah, yang telah terlalu banyak memberi kita nikmat.. Pernahkah kita terfikir soal itu? Namun, masih sedikit manusia yang bersyukur.

Hayatilah lirik lagu ini. Moga2 ianya memberi kesedaran untuk kita agar memahami makna pengorbanan..

Apa erti jihad tanpa pengorbanan
Apa erti kata-kata tanpa dikotakan
Nabi Ibrahim lambang kejujuran
Hati bercahaya penyuluh zaman


Apa erti hamba tanpa ketaatan
Apa erti cinta tanpa pengorbanan
Nabi Ismail contoh tauladan
Sanggup mati untuk Tuhan


Setiap tahun muslimin ke Mekah
Beribadah mengingati sejarah
Berlutut di Baitul Kaabah
Dalam penuh pasrah


Tiada beza darjat
Yang kaya atau melarat
di hadapan Yang Maha Perkasa
Menangislah orang berdosa

SALAM AIDILADHA 1432H BUAT SELURUH UMAT ISLAM
KHUSUSNYA MAHASISWA/WI UKM SEKALIAN..


Thursday, 20 October 2011

Pesta Juadah Antarabangsa UKM Pamer Kesatuan 18 Buah Negara



BANGI, 18 Okt 2011 – Pesta Juadah Antarabangsa UKM 2011 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Gemilang. Lebih dari 60 jenis makanan dari 17 buah negara luar dan Malaysia sendiri di hidangkan kepada para pengunjung yang hadir di pesta makanan tersebut. Program tahunan anjuran Pusat Pengajian Umum (PPU) ini sangat dipuji memandangkan ianya memberi peluang kepada pelajar luar negara untuk berkongsi dan memperkenalkan makanan tradisi dari negara asal mereka kepada seluruh warga UKM dan orang ramai.
Pengarah PPU, Profesor Dr. Khairul Anwar Mastor yang merasmikan Pesta itu berkata ia adalah suatu usaha UKM untuk mendekatkan pelajar asingnya  ke dalam satu komuniti di UKM.
Antara pelajar yang menyertai pesta itu adalah dari negara-negara seperti Arab Saudi, Iraq, Libya, Holland, Sri Langka, Bangladesh, Yemen, Uganda, Nigeria, Indonesia, Brunei, Palestine, Jordan, Iran, China, India, Sudan, Bosnia dan tidak ketinggalan juga dari Malaysia .
Menurut salah seorang pelajar dari Arab Saudi yang terlibat, “Setelah berada di Malaysia selama beberapa tahun, acara seperti ini membuat saya berasa seperti berada di tanah air sendiri,” kata beliau. 
“Apa yang anda lihat di sini semuanya adalah makanan kami di Arab Saudi, yang telah disediakan dengan kerjasama rakan-rakan” kata Ahmed.
Sempena pesta ini, PMUKM diwakili Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan, Saudari Noraini Binti Jumahir juga secara tidak langsung sedikit sebanyak terlibat dalam menguruskan persiapan bagi pameran Negara Malaysia. Memandangkan Malaysia terdiri daripada 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India, Saudari Noraini turut dibantu oleh Saudari Wu Tuan Yuan selaku Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM serta rakan-rakan dan juga Pelajar dari negara China mewakili kaum Cina dan Saudara Mohan Raju serta rakan-rakan mewakili kaum India. 
"Saya cukup berbangga dengan kerjasama yang sangat baik yang diberikan oleh Saudara Mohan dan Saudara Wu Tuan Yuan. Mereka sangat terbuka dan sedia membantu ketika saya meminta kerjasama mereka. Perpaduan seperti inilah yang saya harapkan," menurut Saudari Noraini.
Antara pameran yang diperlihatkan selain makanan, terdapat juga pelbagai jenis permainan tradisional, pakaian tradisional dan juga artikel-artikel menarik yang dapat dilihat di booth Kaum Melayu. Turut membantu dengan sangat baik adalah beberapa pelajar dari RAKAN PMUKM dan juga Persatuan Mahasiswa Darul Ridzuan, PERMADARI yang memeriahkan lagi booth Kaum Melayu.
Pesta itu turut menyaksikan demonstrasi memasak dan pameran kebudayaan oleh para peserta.
Terima kasih diucapkan kepada pihak Pusat Pengajian Umum kerana memberi kepercayaan kepada PMUKM untuk turut sama membantu dan juga kepada rakan-rakan sekalian. Tidak lupa juga kepada ahli RAKAN PMUKM yang sudi meluangkan masa membantu MPP Noraini selain dapat membina softskill dan membentuk kemahiran komunikasi dan interaksi bersama orang ramai bertepatan dengan matlamat penubuhan RAKAN PMUKM ini.
Pengarah PPU, Dr. Khairul Anwar Mastor mencuba makanan negara Arab Saudi.
Persembahan memasak..
Saudara Wu Tuan Yuan dan rakan-rakan di booth negara China
Saudara Mohan dan rakan-rakan di booth kaum India..
Adik-adik dari RAKAN PMUKM yang rajin bekerja.. =)
Ahli RAKAN PMUKM bersama pensyarah PPU, Dr Fadzilah dan Cik Dina di booth negara Bosnia.