Tuesday, 19 July 2011

PMUKM puji usaha Sekretariat Pesta Konvo 39 anjur Hari Masyarakat Prihatin..


Alhamdulillah, selesai sudah perlaksanaan Hari Masyarakat Prihatin yang diusahakan oleh Sekretariat Pesta Konvokesyen ke 39 UKM pada 17 Julai 2011, hari Ahad yang lalu. Program yang dijalankan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi ini berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari para penduduk. Saya cukup bangga dengan penduduk sekitar Bangi yang sangat memberikan sokongan terhadap pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Sekretariat Pesta Konvo ke 39 ini daripada aktiviti mass marketing hinggalah ke program besar ini. Tidak hairanlah Bangi ini digelar bandar ilmu dengan melihatkan masyarakat sekelilingnya yang berfikiran intelek yang sentiasa membantu menjayakan program yang dibuat oleh mahasiswa.


Di samping itu, saya selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM sesi 10/11 memuji usaha Sekretariat Pesta Konvo ke 39 kerana sudi turun padang dan menganjurkan aktiviti yang bersifat kemasyarakatan lebih-lebih lagi program yang meraikan golongan kurang upaya seperti kanak-kanak sindrome down dan anak-anak yatim yang dijemput hadir memeriahkan majlis. Saya cukup gembira melihat kanak-kanak ini ceria sepanjang program diadakan. Selaku golongan yang prihatin, kita seharusnya tidak menyisihkan mereka yang kurang upaya ini dan mereka yang telah kehilangan ahli keluarga kerana mereka juga memerlukan kasih sayang dan layanan mesra dari masyarakat sekeliling. Mereka juga insan biasa yang sentiasa inginkan perhatian kita semua.



Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti yang berjaya merapatkan hubungan silaturrahim sesama penduduk Bandar Baru Bangi turut dijalankan. Antaranya seperti senam robik, pertandingan mewarna, sukaneka, explorace bersama anak-anak yatim, sukan rakyat dan sebagainya. Melalui aktiviti sebeginilah perpaduan rakyat dapat dibentuk. Yang jauh didekatkan, yang rapat makin dieratkan.


Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada seluruh Sekretariat Pesta Konvokesyen ke 39 yang sentiasa komited dalam menjalankan gerak kerja tanpa melupakan agenda kemasyarakatan. Sememangnya saya serta seluruh barisan kepimpinan PMUKM 10/11 sentiasa menyokong usaha kalian dalam menjayakan pesta Konvo pada tahun ini. Terbaik dari saya untuk kalian semua. Teruskan usaha kalian. Mahasiswa pencetus keprihatinan masyarakat.. =)


~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~

Thursday, 14 July 2011

Terbentuknya Perpaduan Mahasiswa 2 Negara..

Salam mahasiswa. Pada 16 Jun 2011 yang lalu, satu pertemuan antara barisan kepimpinan PMUKM 10/11 bersama delegasi kepimpinan dari Persatuan Pelajar Indonesia UKM (PPI UKM) telah diadakan pada pukul 8.30 malam di Bilik Gerakan HEP. Pertemuan ini telah dipersetujui bagi menyambut baik hasrat pihak PPI UKM untuk bersemuka dengan kepimpinan PMUKM bagi menjalin hubungan erat antara mahasiswa di 2 buah negara yang berbeza, Malaysia-Indonesia. Agenda pertemuan telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Saudara Presiden sendiri, iaitu Ahmad Muzzammil Bin Muhd Hairi. 


Rombongan dari PPI UKM ini yang diketuai oleh Saudara Arif Murthi telah membawa bersama mereka satu harapan yang tinggi iaitu agar perpaduan sesama mahasiswa dapat diperkukuh kan walaupun berasal dari negara yang berbeza. Hasrat mereka ini telah disuarakan kepada PMUKM agar mereka tidak seperti di anak tirikan. Menurut Presiden PPI UKM itu lagi, rentetan dari peristiwa percetusan antara Malaysia-Indonesia yang pernah melanda, beliau amat berharap agar ianya tidak memberi kesan kepada mahasiswa Malaysia dan Indonesia yang berada di UKM yang akhirnya mampu menyebabkan perpecahan.



Pihak PPI UKM telah menanam hasrat untuk mengadakan kerjasama perpaduan dengan PMUKM pada masa akan datang dalam menjalankan satu program yang memperlihatkan bahawa mahasiswa baik dari Malaysia mahupun Indonesia memiliki ciri yang sama antara mereka. PMUKM menyambut baik cadangan ini dan sedang merangka gerak kerja yang mampu menghubungkan sesama mahasiswa walaupun mereka memiliki sedikit perbezaan. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada delegasi dari PPI UKM kerana sudi mengadakan perbincangan bersama PMUKM.



Saya, Noraini Binti Jumahir selaku Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM 10/11 turut berbesar hati dengan jalinan persahabatan ini dan berharap agar segala perancangan yang dibentuk dapat direalisasikan demi matlamat kesatuan dan perpaduan yang pastinya tidak dipisahkan dari agenda keintelektualan yang digalas oleh kepimpinan PMUKM pada kali ini. Kami juga terbuka tangan untuk menerima huluran persahabatan dari seluruh persatuan mahupun mana-mana pihak dalam bersama-sama mendokong pembawakan PMUKM sesi ini.

Nantikan program-program akan datang berteraskan perpaduan dan kemasyarakatan yang akan menanti anda.. :)

~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~

Thursday, 7 July 2011

Pengumuman Keputusan Peperiksaan Semester 3

Salam mahasiswa. Dengan ini diumumkan bahawa keputusan peperiksaan SEMESTER 3 sesi 10/11 boleh disemak mulai 12 Julai 2011 ini. 

Maklumat lanjut boleh didapati melalui capaian berikut:

www.ukm.my

Kami di barisan kepimpinan PMUKM 10/11 mendoakan agar mahasiswa/wi UKM sekalian memperoleh keputusan yang cemerlang. Teruskan usaha anda untuk kejayaan yang lebih baik di masa akan datang.


Sebarang masalah penyemakan keputusan peperiksaan, boleh dirujuk atau dimaklumkan kepada mana-mana MPP berdekatan anda. Kebajikan anda adalah tanggungjawab kami. =)



 ~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~




Tuesday, 5 July 2011

Terkini Buat Bakal Graduan UKM 2011

   

Salam mahasiswa. Hasil pertemuan saya dengan Bahagian Pengurusan akademik baru-baru ini, dimaklumkan bahawa satu Mesyuarat Induk Konvokesyen yang terdiri daripada Naib Canselor sendiri akan diadakan pada 11 Julai ini untuk pengesahan tarikh sidang bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Dijangka tarikh sidang akan diumumkan secara rasminya pada pertengahan bulan Julai ini kepada seluruh pelajar tahun akhir yang akan bergraduasi menerusi emel masing-masing. Anda juga boleh semak tarikh sidang fakulti anda di laman web https://smp.ukm.my/konvo/ atau boleh juga menerusi pengumuman terkini di FB Bahagian Pengurusan Akademik Ukm. TQ. 

                          
                      muka depan bagi capaian laman https://smp.ukm.my/konvo/

                    ~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~


Disediakan oleh:

Noraini Binti Jumahir
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM 10/11

Saturday, 2 July 2011

Kunjung Mesra MPP UniSZA bersama PMUKM..

Pada 29 Jun yang lalu, seramai 13 orang barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan lawatan kunjung mesra ke UKM bagi mengadakan pertemuan dan sesi dialog bersama MPP UKM. Lawatan yang bertemakan 'Ukhwah Fillah' ini telah memilih UKM sebagai salah satu lokasi jelajah mereka ke beberapa IPTA di semenanjung Malaysia untuk saling bertukar-tukar pandangan dan idea bersama barisan MPP di setiap universiti yang dikunjungi bagi memantapkan sesi kepimpinan masing-masing.



Delegasi dari UniSZA ini telah disambut oleh 6 orang barisan kepimpinan PMUKM sesi 10/11 yang diketuai oleh Setiausaha Agung PMUKM, Saudara Mohamad Ezuan Mohd Saad dengan kerjasama MPP Izzuddin Pisol, MPP Wan Ahmad Fahmi, MPP Helmi Othman, MPP Azidah Mashan dan juga MPP Noraini Jumahir. 

Sebelum sesi dialog dijalankan, MPP UniSZA telah dibawa melawat ke Galeri UKM dan Muzium Warisan UKM yang terletak di Bangunan Canselori bagi melihat pelbagai kejayaan dan sumbangan yang telah dicipta oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Tepat jam 10.00 pagi, kedua-dua peringkat kepimpinan UKM-UniSZA telah bersama-sama untuk duduk semeja di Bilik Mesyuarat Aras 5, Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL) dengan membincangkan mengenai isu kebajikan mahasiswa di kedua-dua buah universiti. Pelbagai perkongsian telah diberi antara UKM dan UniSZA memandangkan isu kebajikan merupakan matlamat kepimpinan yang utama yang perlu ditangani.



Penyampaian cenderamata oleh Setiausaha Agung PMUKM, Saudara Ezuan kepada Presiden MPP UniSZA, Saudara Mohamad Isa.


Kami dari barisan PMUKM 10/11 mengucapkan terima kasih kepada MPP UniSZA atas kesudian untuk berkunjung ke UKM dan mengadakan sesi perbincangan bersama MPP UKM. Semoga ikatan ukhwah yang terjalin akan berkekalan dan pelbagai kerjasama dapat dibentuk pada masa akan datang.

"BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI" 

oleh:
Pengerusi Biro Perpaduan & Kemasyarakatan PMUKM 10/11,
Noraini Binti Jumahir.

Sunday, 26 June 2011

Tahniah! Kejayaan anda kebanggaan kami..


UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA... seindah namanya.. Begitulah keharumannya semakin mekar hari demi hari dengan pelbagai kejayaan dan aksi hebat yang telah disumbang oleh mahasiswa/wi UKM itu sendiri menerusi pelbagai bidang yang diceburi baik dalam akademik, sukan, kepimpinan, kebudayaan, rekacipta dan pelbagai acara-acara yang disertai. Seiring dengan gagasan yang dijulang, "Mengilham harapan, Mencipta masa depan", UKM terus menempah nama baik menerusi kegemilangan pelajarnya. 

Yang terkini, pasukan dari UKM telah menunjukkan aksi yang bergaya dengan memenangi tempat kedua bagi kategori reka bentuk dalam cabaran Perodua Eco Challenge di litar MIMC iaitu Malacca International Motorsport Circuit. Tahniah diucapkan buat kontinjen UKM dari  fakulti kejuruteraan dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.



Di samping itu, tidak lupa juga kepada beberapa pasukan dari UKM yang menunjukkan prestasi yang cemerlang satu demi satu di karnival sukan MASUM yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada tahun ini. Antaranya seperti Pasukan Bola Tampar UKM yang berjaya menumpaskan pasukan dari UPSI dengan kemenangan 3 berbalas 0. Kejayaan ini merupakan kejuaraan keenam UKM secara berturut-turut bagi sukan ini di dalam karnival MASUM. Satu pencapaian yang mantap dipersembahkan oleh mahasiswa UKM. Seterusnya, tahniah juga diucapkan kepada barisan pasukan kriket UKM yang memberikan rentak yang menarik juga sepanjang perlawanan berlangsung dengan kemenangan bergaya ke atas beberapa universiti ternama. Syabas buat kalian! Juga buat beberapa kontinjen sukan UKM yang lain di dalam MASUM seperti pasukan silat dan sebagainya yang berjaya membawa pulang pingat dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Beberapa keputusan akhir masih dinantikan dalam beberapa acara yang belum selesai. Semoga pasukan UKM terus mencipta kecemerlangan kerana ANDA adalah kebanggaan kami.

~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~

WE LOVE UKM!!

Credit to TNC Hepa for the information.. =)

26 Jun: Hari Sambutan Anti-Dadah Kebangsaan


Sejak dahulu lagi, masalah penagihan dadah merupakan isu yang semakin lali di dengar baik di dada-dada akhbar, di kaca televisyen, di corong-corong radio mahupun dari perbualan seharian masyarakat. Masalah ini semakin parah dan meruncing di kalangan rakyat negara kita. Ianya juga cukup membimbangkan masyarakat kerana kesannya yang mampu merosakkan institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara. 

Pada hemat saya, masalah penagihan dadah ini adalah bapa kepada masalah sosial yang lain seperti mencuri, tidak menghormati ibubapa, mat rempit, bohsia, gangsterisme, buang bayi, keganasan rumahtangga, perceraian, seks bebas dan sebagainya lagi. Pelbagai usaha telah dilancarkan semenjak tahun 1970 an lagi bagi memerangi gejala yang tidak sihat ini. Namun segala penyelesaian alternatif yang dijalankan ini ibarat mencurah air ke daun keladi. Tahun demi tahun, peningkatan jumlah penagih dadah semakin meningkat seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Pada tahun 2007, dalam Mingguan Malaysia bertarikh 1 Julai, dicatatkan bahawa statistik penagih dadah di Malaysia dianggarkan melebihi sejuta orang. Bukankah bilangan itu cukup membimbangkan kita? Jumlah ini belum termasuk dengan penagih dadah yang tidak dapat dijejaki lagi. 

Walaubagaimanapun, bukan soal statistik yang ingin diketengahkan. Persoalan yang paling utama adalah sampai bila masalah ini akan berterusan dan mampu ditangani.. Negara kita telah meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas dadah pada tahun 2015.. Mampukah matlamat ini terlaksana demi kesejahteraan hidup rakyat dengan melihatkan jarak tahun yang semakin menghampiri dari apa yang disasarkan. 

Pada pandangan saya selaku Pengerusi Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan PMUKM sesi 10/11, semua harapan ini sebenarnya mampu dicapai dengan mudah jika semua pihak memiliki kesedaran dan berusaha memainkan peranan masing-masing seperti agensi penguatkuasaan, NGO, pemimpin, masyarakat, pelajar, ibubapa dan individu amnya. Semua individu mesti berusaha menjauhkan diri dari terlibat dengan penagihan dadah. Dengan itu dadah yang dikenali sebagai musuh negara nombor satu ini mampu dihapuskan sama sekali di negara kita bagi membentuk kehidupan generasi yang akan datang yang lebih aman dan harmoni. Impossible is nothing.


Ayuh katakan "SAYA BENCI DADAH"!!!

^_^